Jumaat, 28 Disember 2012

Cintakan Saudara sebagaimana Cintakan Diri Sendiri

Ayub as-Sakhtiyani RA mengungkapkan,

"Ketika aku diberitahu tentang kematian salah seorang di antara Ahlus Sunnah, seolah-olah aku kehilangan salah satu daripada anggota tubuhku."

[Syarah I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, I:66 no.29]

Ikhlaskan Hati, Sembunyikan Amal Soleh.

Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan mereka yang mengikuti para Salaf dan juga mengurniakan keikhlasan hati dan menjadikan segala amal perbuatan kita sebagai amal soleh.

Salaam berkata, "Ayub as-Sakhtiyani Radhiyallahu anhu selalu menunaikan solat disepanjang malam dan tiada sesiapa pun yang mengetahuinya. Maka apabila Menjelang waktu pagi, Ayub Radhiyallahu anhu akan meninggikan suara beliau (menguap) lalu orang-orang akan Berfikir bahawa beliau Baru terjaga daripada tidurnya ".

Rujukan: Imam az-Zahabi, Siyar a'lam an Nubala 'Jil. 6, hal. 17

Selasa, 4 Disember 2012

Kisah Imam al-Bukhari bersama Penghutang yang melarikan diri

Oleh: Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary

Imam al-Zahabi meriwayatkan dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/446), dan juga Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Subki (2/227) dengan sanad mereka bahawa Imam Muhammad ibn Abi Hatim berkata ketika beliau berada di kota Firabr bersama Imam al-Bukhari, beliau mendengar khabar berita bahawa seorang lelaki fulan baru sahaja tiba di kota Aamul. Lelaki itu seorang yang 'penting' kerana dia telah berhutang dengan Imam al-Bukhari dengan sejumlah hutang yang besar (iaitu sebanyak 25,000 Dirham).

Imam Muhammad ibn Abu Hatim dan lain-lain yang bersama-sama Imam al-Bukhari pun berkata kepada Imam al-Bukhari: "Kamu mesti kesana (iaitu ke Aamul) dan tuntut wang kamu daripadanya", jawab Imam al-Bukhari: "Bukanlah hak kita untuk kesana dan menakut-nakutkan dia". Namun, telah terlambat kerana sebaik sahaja si lelaki Penghutang itu mendapat tahu bahawa Imam al-Bukhari berada di kota Fibrabr (yang dekat dengan kota Aamul), maka dia pun meninggalkan Aamul dan pergi melarikan diri ke kota Khawaarizm.

Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakannya kemudian berkata kepada Imam al-Bukhari: "Kita perlu beritahu hal ini kepada gebenor kota Aamul iatu Abu Salamah al-Kashshaanee meminta agar beliau menulis surat kepada gabenor Khawaarizm, memerintahkan supaya lelaki Penghutang itu ditangkap, dan memerintah agar apa yang berhak kepada kamu dikembalikan kepada kamu (iaitu dibayar hutang)". Apabila mendengarkan cadangan ini Imam al-Bukhari membantah seraya berkata: "Sekiranya aku meminta pihak pemerintah agar menulis surat arahan itu, nescaya mereka - pemerintah - akan meminta sesuatu daripadaku sebagai balasan (iaitu mempergunakan Imam al-Bukhari untuk kuasa politik) dan aku tidak sama sekali akan menjual agamaku kerana suatu hal yang tidak penting daripada bahagian keduniaanku".

Akhirnya Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakanya gagal meyakinkan Imam al-Bukhari agar mengejar si lelaki Penghutang itu, maka mereka membuat keputusan untuk bertindak sendiri-sendiri. Tanpa memberitahu Imam al-Bukhari, mereka pergi bertemu gabenor yang kemudiannya menulis surat yang ditujukan kepada gabenor Khawaarizm kepada mereka. Apabila Imam al-Bukhari mengetahui akan hal yang telah mereka lakukan, beliau berkata kepada mereka: "Jangan lah kamu tunjukkan belas kasihan kepadaku atas perkara-perkara yang aku sendiri tidak tunjukkan belas kasihan kepada diriku sendiri". Kemudian Imam al-Bukhari menulis banyak surat-surat mengarahkan rakan-rakan beliau yang berada di kota Khawaarizm untuk tidak menangkap atau mengganggu si lelaki Penghutang itu, sebaliknya melayan dia dengan baik.

Kemudian si lelaki Penghutang itu melarikan diri ke kota Marwu. Ketika itu gabenor di kota Marwu telah masuk campur dan ingin menghukum si lelaki yang berhutang dengan Imam al-Bukhari itu dengan hukuman undang-undang, dan ini sangat mendukacitakan Imam al-Bukhari. Maka Imam al-Bukhari pun keluar pergi mencari si lelaki Penghutang itu sendiri, dan apabila Imam al-Bukhari bertemu lelaki tersebut beliau sangat berlembut dengan dia. Lelaki itu berhutang sebanyak 25,000 Dirham daripada Imam al-Bukhari, pun begitu Imam al-Bukhari bersetuju untuk mengambil sebanyak 10 Dirham sahaja setiap bulan daripadanya (iaitu Imam al-Bukhari bersetuju agar si lelaki itu membayar hutang secara ansuran dengan 10 Dirham sebulan). Imam al-Bukhari telah menyelamatkan si lelaki Penghutang itu daripada hukuman undang-undang pihak Pemerintah, dan Imam al-Bukhari tidak meminta wang lebih walaupun 1 Dirham daripada lelaki itu (iaitu tiada sebarang riba dikenakan)" 

[Rujuk: al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/ 446), al-Subki, Tabaqat al-Subki (2/227)]

Nota : Kisah ini juga menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari bukanlah seorang yang miskin papa kedana sebagaimana sangkaan sesetengah pihak, kerana orang yang miskin tidak mampu memberi hutang sebanyak 25,000 dirham, kecuali mereka yang berada sahaja.

Projek bangunan oleh Imam al-Bukhari

Imam Zahabi dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/450) dan Imam Ibnu Hajar dalam Muqaddimah al-Fath (505) meriwayatkan dengan sanad mereka bahawa Imam al-Bukhari pernah memulakan satu projek membina bangunan berdekatan Bukhara - tempat tinggal asalnya al-Bukhari - .

Ramai manusia datang membantu untuk projek binaan itu dan Imam al-Bukhari sendiri turun membantu dengan membawa batu-bata binaan bersama-sama para pekerja lain. Dan sememangnya telah cukup ramai tenaga para pekerja untuk projek tersebut, memandangkan Imam al-Bukhari yang menaja projek binaan itu, maka Imam Muhammad ibn Abu Hatim merasakan Imam al-Bukhari tidak perlu bersusah-payah turun padang mengangkat batu-bata bersama, kata Imam Muhammad ibn Abu Hatim kepada Imam al-Bukhari: 

"Wahai Abu Abdullah (iaitu kunyah kepada Imam al-Bukhari), kamu tidak perlu berkerja - mengangkat batu-bata bersama - kerana telah amat cukup tenaga pekerja yang menguruskan apa yang perlu diuruskan". Maka jawab Imam al-Bukhari : "Kerja-kerja kebajikan sebeginilah yang menguntungkan kita - di hari Akhirat kelak, maka biarkan aku berkerja - ".

Imam al-Bukhari menjemput kesemua manusia - para pekerja projek itu dan lain-lainnya - untuk makan (jamuan). Seramai - kira-kira - 100 manusia memenuhi jemputan jamuan tersebut, walaupun Imam al-Bukhari tidak menyangka manusia yang datang begitu ramai, mereka semua diberkati dengan makanan yang diberikan mereka, dan mereka makan hingga kenyang"

[Rujuk: Imam Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/450), Ibnu Hajar, Muqaddimah al-Fath (505), Salahuddin Ali Abdul Maujud, Sirah al-Imam al-Bukhari (114)]

Wafatnya Imam Bukhari malam Aidil Fitri

Tahukah kita bahawa seorang tokoh besar yang ramai kita kenali wafat pada malam Aidil Fitri? Beliaulah Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari, penyusun kitab Sahih Bukhari.

Ibn `Adiy meriwayatkan daripada al-Bazzaz katanya:



توفي البخاري ليلة السبت ليلة الفطر عند صلاة العشاء، ودفن يوم الفطر بعد صلاة الظهر سنة ست وخمسين ومئتين.
وعاش اثنتين وستين سنة


"al-Bukhari wafat pada Sabtu, malam Aidil Fitri, sekitar waktu Isyak, dan beliau dikebumikan pada hari Aidil Fitri selepas solat Zuhur. Kesemuanya ini berlaku pada tahun 256H, maksudnya beliau hidup selama 62 tahun.."

Moga Allah SWT merahmati al-Imam, meluaskan kuburnya, dan menempatkan al-Imam dalam SyurgaNya. Beliau pergi meninggalkan jasa yang amat besar kepada umat Islam seluruhnya.

Rujukan: Imam Zahabi,
Siyar `Alam al-Nubala' (12/468)

Selasa, 6 November 2012

Iman itu Bukanlah Hanya di Hati

Imam al-Auzaie RA berkata;

"Keimanan itu tidak akan berbunyi melainkan dengan perkataan (yang benar). Iman dan kata-kata (penyaksian) itu tidak akan berbunyi melainkan dengan amal (amal soleh). Manakala Iman, penyaksian dan amalan tidak akan berbunyi kecuali dengan niat (yang betul) dalam mematuhi sunnah. Golongan terdahulu (salaf) yang telah pergi sebelum kita tidak pernah mengasingkan keimanan daripada perbuatan: perbuatan (amal) adalah sebahagian daripada iman dan iman adalah daripadanya (yakni amal seseorang). Iman adalah satu perkataan yang membawa bersama-sama aspek-aspek dalam beragama dan disahkan melalui amal perbuatan seseorang.

Maka sesiapa yang percaya kepada keterangan tersebut, tahu di dalam hatinya dan mengesahkan (kepercayaan) menerusi perbuatannya, maka ianya adalah ikatan yang amat kuat dan tidak akan putus. Maka dan sesiapa yang menyatakan (perkataan iman) tetapi tidak mengetahui (iman) di dalam hatinya dan juga tidak membuktikan dengan perbuatannya, sesungguhnya ianya tidak akan dapat diterima dan diakhirat nanti seseorang itu akan termasuk di dalam golongan yang menderita dalam kerugian".

Rujukan: Ibnu Battah, al-Ibanah al-Kubra 

Cintailah 3 perkara yang dibenci

Diriwayatkan bahawasanya Abu Darda' RA pernah berkata;

ثلاثة أحبهن ويكرههن الناس الفقر والمرض والموت أحب الفقر تواضعا لربي والموت اشتياقا لربي والمرض تكفيرا لخطيئتي

Tiga perkara yang aku cintai manakala manusia yang lain membencinya: Miskin, Sakit dan Mati. Aku sukakan kemiskinan disebabkan perasaan rendah diriku kepada Tuhanku, dan aku sukakan kematian disebabkan kerinduanku kepada Tuhanku, dan sakit itu sebagai penebus kepada dosa-dosaku.

Rujukan: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an Nubala', II/349.

Membaca Quran dengan Berlagu?

Diriwayatkan bahawasanya ada seseorang pernah membaca al-Quran di dalam nada yang berlagu [1] di hadapan al-A'mash. Lalu al-A'mash menegur dengan berkata:

"Seorang lelaki pernah membaca al-Quran seperti ini dihadapan Anas (Anas bin Malik) RA dan dia dibencinya".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 110.

Diriwayatkan juga bahawasanya Salim (Salim bin Abdillah bin Umar bin al-Khattab - cucu kepada Saidina Umar) RA telah diminta untuk mendengar bacaan seseorang ketika ia memimpin solat (menjadi imam). Apabila beliau mendengar bacaannya lalu dia berpaling dan seraya berkata; "Menyanyi, Menyanyi!".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 183.

Diriwayatkan dalam kitab yang sama bahawasanya ada seorang lelaki di Madinah yang selalu mengimami solat. Pada suatu malam dia membaca Quran hingga terbawa-bawa akan emosinya. [2] al-Qasim bin Muhammad membaca firman Allah berikut; 



Maksudnya; Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

[Surah Fussilat, ayat 41 & 42]

Dan beliau (al-Qasim) membencinya (tindakan pembaca Quran tersebut)

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 184.

Fudail bin 'Ayyad RA sendiri apabila ditanya mengenai persoalan membaca al-Quran dengan bernada lagu [1] lalu beliau menjawab, "Ini adalah sesuatu yang mereka ambil dari seni nyanyian".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 182

Ibnu Dawud (Abdullah bin Dawud bin 'Amir al-Khuraybi) RA pernah ditanya oleh Bisyr bin al-Harith;

"Jika aku melalui berdekatan orang yang sedang membaca Quran, perlukah aku duduk dan mendengar?" Beliau (Ibnu Dawud) bertanya, "Adakah dia menjadi lunak (disebabkan bacaan mendayu-dayu mengikut perasaan)?" Dia menjawab, "Ya". Lalu beliau berkata, "Orang itu telah menunjukkan bid'ah, jangan duduk bersamanya". 

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 186.

Hanbal meriyawatkan:

Abu Abdillah (Imam Ahmad) selalu membenci bacaan bid'ah sebegini yang dipanggil sebagai al-Alhan (bacaan bernada dengan merdu).

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 187

Hanbal turut meriwayatkan bahawasanya Imam Ahmad pernah berkata;

"Bid'ah pembacaan ini dinamakan al-Alhan, aku tidak menyukainya. Beliau amatlah seorang yang tegas terhadap tindakan ini. Tambah beliau, "Aku yakin bahawa ia menyerupai nyanyian, dan al-Quran hendaklah dipelihara daripada perkara sebegini".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 188.

Jika diperhatikan, banyak lagi kata-kata Imam Ahmad yang menyanggah perbuatan ini, antara yang lainnya adalah, 

Apabila ditanya tentang perkara ini (al-Alhan) lalu beliau (Imam Ahmad) berkata;

"Ini adalah bid'ah. Akan tetapi (membaca dengan suara yang baik) jika itu adalah suara semulajadinya (tidak dipaksa-paksa) tidak mengapa, seperti Abu Musa (Abu Musa al-Asy'ari RA)."

Antara jawaban lain beliau;

"Tidak. (Dibolehkan) Jika ianya suara asal seseorang itu, sebagaimana suara Abu Musa. Adapun belajar untuk membaca seperti begitu (memaksa suara untuk merdu) maka itu tidak dibolehkan."

Apabila Imam Ahmad ditanya mengenai bacaan merdu dan mendayu-dayu, beliau menjawab;

"Itu adalah bid'ah". Lalu seseorang memberitahu Imam Ahmad, "Manusia berkumpul untuk mendengarnya". Kemudian Imam Ahmad membalas, "Allahul Musta'an (kepada Allah jualah diminta pertolongan - yakni lafaz dukacita dan penolakan)" 

Juga Imam Ahmad pernah berkata;

"Ianya bid'ah, jangan mendengar kepadanya".

Abdullah bin Yazid al-'Anbari meriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Imam Ahmad,

"Apakah pandangan engkau mengenai bacaan secara Alhan?". Abu Abdillah (Imam Ahmad) bertanya kembali, "Apakah namamu?". Si penanya menjawab, "Muhammad". Imam Ahmad menjawab kembali, "Adakah kamu lebih suka dipanggil Muuhammad (dengan penambahan vokal yang tidak sepatutnya)?".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 99+

Imam Malik bin Anas juga pernah berkata;

"Tidak aku sukai membaca Quran dengan mendayu-dayu, tidak pada bulan Ramadhan mahupun pada masa yang lain, kerana ianya menyerupai nyanyian, dan menyebabkan al-Quran itu untuk dipermainkan. Lalu akan ada yang berkata 'Orang ini lebih merdu bacaannya berbanding orang ini' (Seolah-olah al-Quran kini menjadi bait-bait lagu yang dipertandingkan sesama para qari).

Telah juga sampai kepada pengetahuanku bahawa para hamba wanita kini diajar membaca seperti ini sebagaimana mereka belajar bagaimana untuk menyanyi. Adakah kalian berfikir bahawa inilah cara yang Baginda Rasulullah SAW gunakan ketika membaca Quran?".

Rujukan: al-Qairawani, Kitab al-Jami', m/s 166.

______________

[1] Bahasa Arab: Alhan. Ini membawa erti membaca dalam nada yang merdu, seperti lagu. Lihat nota.
[2] Bahasa Arab: al-Tarb. Ianya merujuk kepada keadaan keamatan emosi yang membawa kepada ungkapan fizikal. Cth: Menangis hingga tersedu-sedu, gembira hingga melompat-lompat. Rujuk nota.

Nota:

Sehubungan dengan beberapa perkara ini, Ibnu Jauzi RAH menyatakan bahawa;

Ketahuilah bahawa bacaan sebegini dibenci berdasarkan kepada beberapa sebab, antaranya; (si pembaca) menggabungkan huruf bersama beberapa huruf lain yang tidak sepatutnya digabungkan, mereka melanjutkan vokal (mad) pada tempat yang tidak sepatutnya dipanjangkan, mereka meninggalkan tanda hamzah dan juga menggandakan konsonan (tasydid) kerana ingin mengekalkan melodi yang dibawa. Bacaan sebegini juga mampu menyebabkan orang awam terbawa-bawa emosi (dalam membaca Quran) dan juga mengalihkan perhatian manusia daripada menghayati al-Quran. [3]

Dalam menjelaskan jenis-jenis bacaan yang dipuji dan dicela, al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RAH menjelaskan,

Apa yang digalakkan dalam syariat adalah untuk mengindahkan bacaan yang membawa kepada penghayatan al-Quran dan usaha untuk cuba memahaminya, lalu menyerah dan merendah diri lalu patuh dengan ketaatan (kepada Allah). Namun dalam soal menggunakan melodi bersuara, ianya digubah dengan gangguan irama yang menghiburkan berdasarkan aturan muzik maka hendaklah al-Quran dihormati dan dijauhkan daripada perkara sebegini untuk diambil pendekatan dalam penyampaian. [4]

[3] Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin m/s 335
[4] Ibnu Katsir, Fada'il al-Quran, m/s 198 

Isnin, 5 November 2012

Taqwa, Keilmuan dan Kecantikan

Diriwayatkan bahawasanya Abu Darda' RA telah berkata;

"Kamu tidak akan menjadi seorang yang alim sehingga kamu berilmu, dan kamu tidak akan sesekali menjadi indah dengan keilmuanmu sehinggalah kamu beramal dengannya".

Rujukan: Ibnu Abd al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm wa Fadhlihi, 1239

Hindari Golongan Kelima

Diriwayatkan bahawasanya Abu al-Darda' RA telah berkata;

"Jadilah ulama' ataupun seorang pelajar, atau jadilah seseorang yang mencintai (ulama') atau pengikut (ulama'). Namun jangan sesekali menjadi yang kelima."

Humaid (salah seorang yang menyampaikan riwayat ini) bertanya kepada al-Hasan (Hasan al-Basri, yakni orang yang meriwayatkan ini daripada Abu Darda'), "Siapakah golongan kelima?" Dia menjawab, "Tukang bid'ah (mubtadi')".

Rujukan: Ibnu Abd al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm, I:142

Mengapa Manusia Mengadakan Bid'ah?

Muaz bin Jabal RA telah berkata;

"Sesungguhnya di hadapan kamu akan ada banyak cubaan pada zamannya (fitan) dimana harta akan melimpah ruah, satu hari dimana al-Quran akan dibuka dan dibaca oleh orang-orang beriman dan juga orang-orang munafiq, lelaki dan perempuan, muda dan tua, golongan merdeka mahupun hamba. Pada masa itu berkemungkinan akan ada yang berkata, 'Mengapa orang ramai tidak mengikuti aku sedangkan aku membaca (mempelajari) al-Quran? Mereka tidak akan mengikuti aku sehingga aku mengada-adakan sesuatu yang lain'. Jadi berhati-hatilah kamu akan setiap perkara yang baru (bid'ah dalam agama) kerana perkara-perkara bid'ah adalah kesesatan".

Rujukan: Ibnu Waddah, al-Bida' m/s 62; al-Lalaka'i, Syarh Usul I'tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah jilid 1 m/s 125

3 Perkara yang harus disegerakan

Diriwayatkan bahawasanya al-Ahnaf bin Qays RA telah berkata;

"Sekatan itu dipuji kecuali dalam tiga perkara". Orang bertanya, "Apakah ianya wahai Abu Bahr? (nama timangan kepada al-Ahnaf)" Beliau menjawab, "Berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebajikan (melakukan amal soleh), segerakanlah pengebumian si mati dan nikahkanlah anak gadis anda kepada lelaki yang sesuai (selepas kamu menemuinya)".

Rujuk: Abu Bakar al-Dainuri, al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm, 6:307

Pandangan Saidina Ali tentang Abu Bakar dan Umar

Muhammad bin al-Hanafiyah RA meriwayatkan,

 "Aku bertanya ayahku (Saidina Ali), 'Siapakah insan terbaik selepas Nabi SAW?' Beliau kemudian menjawab, 'Abu Bakar'. Aku bertanya lagi, 'Selepas itu?' Beliau menjawab, 'Selepas itu adalah Umar'. Aku bimbang beliau akan berkata 'dan selepasnya Uthman', lalu lantas aku berkata, 'dan kemudiannya adalah kamu (Saidina Ali)'. Lalu beliau membalas, 'Aku hanyalah seorang lelaki biasa dalam kalangan umat Islam'."

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan lainnya.

Menerusi Empat Mata

Khalid bin Ma'dan RA telah berkata:

"Sesungguhnya setiap diantara kita mempunyai empat mata: dua di kepalanya dan dengannya dia dalam melihat hal-hal kehidupan dunia ini, dan dua di dalam hatinya dan dengannya dia melihat kepada perkara akhirat. Dan sesungguhnya apabila Allah mahukan kebaikan buat hambaNya, Dia akan membuka mata hati seseorang itu lalu orang tersebut akan merasakan (kebenaran) akan perkara yang telah Dia janjikan dalam alam Ghaib (syurga atau neraka). Kemudian dia akan diselamatkan daripada perkara ghaib (hukuman, balasan dan azab) oleh perkara ghaib yang lain (pahala bagi mereka yang taat)."

Rujuk: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an-Nubala', IV:543

Musuh ketat kepada Sunnah

Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:

"Sesungguhnya, pengikut akal adalah musuh kepada Sunan (yakni ajaran Rasulullah SAW yang dinyatakan sebagai hadith), mereka tidak mampu untuk mengekalkan (hadith) dan huraian mereka (terhadap hadith) adalah menyimpang, dan apabila ditanya (soalan), mereka terlalu malu untuk menyatakan 'Aku tidak tahu' lalu jadilah mereka sebagai penentang disebabkan pendapat akal mereka".

Rujukan: Ibnu Abi Zamanin, Usul al-Sunnah, 8; al-Lalaka'i Syarh Usul I'tiqad Ahlu Sunnah, 201 et. al

Ikutilah Hadith dengan Sebaiknya

Abu Ja'far meriwayatkan;

Apabila setiap kali Ibnu Umar RA (Abdullah bin Umar) mendengar hadith daripada Baginda Rasulullah SAW, beliau tidak pernah melebihinya (mengingkarinya) dan tidak pula dia mengurangkannya (meremehkannya).

Rujuk: Ibnu Majah, al-Sunan, hadith # 4. 

al-Albaani menyatakan riwayat ini sebagai sahih di dalam Sahih Sunan Ibnu Majah karangannya.

Syeikh al-Albaani menjelaskan lafaz "beliau tidak pernah melebihinya" adalah bermaksud bahawa beliau (Ibnu Umar) tidak pernah sesekali menambah apa-apa yang dijelaskan di dalam hadith tersebut atau melampaui lingkungan batas hadith tersebut (yakni mematuhi larangan dalam hadith). Manakala lafaz "tidak pula dia mengurangkannya" beerti tidak pula sesekali dia mengabaikan isi kandungan hadith tersebut.

Mufti yang Adil

Diriwayatkan bahawasanya Masruq RA pernah berkata;

"Satu hari dimana aku mengeluarkan aturan (fatwa) yang betul dan adil adalah lebih aku cintai daripada setahun berjuang dalam pertempuran (jihad)."

Rujuk: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an-Nubala', 4:66.

Khamis, 11 Oktober 2012

Syair Ibnu al-Mubarak Untuk Para Pengetuk Pintu-pintu Penguasa


Abdullah B. Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) mengungkapkan (sebuah Syair):

يا جاعل العلم له بازيا
“Wahai orang-orang yang menjadikan ilmu sebagai barang jual-beli…
يصطاد أموال المساكين
Untuk mengaut harta orang-orang miskin…
احتلت للدنيا ولذاتها
Engkau ambil untuk dunia dan kesenangannya…
بحيلة تذهب بالدين
Dengan helah engkau menghilangkan agama…
فصرت مجنونا بها بعدما
Lalu engkau menjadi orang gila dengannya sedangkan dulunya…
كنت دواء للمجانين
Engkau adalah ubat bagi orang-orang gila…
أين رواياتك فيما مضى
Di mana riwayat-riwayat engkau yang lampau…
عن ابن عون وابن سيرين
Daripada Ibn ‘Aun dan Ibn Sirin…
ودرسك العلم بآثاره
Dan di manakah ilmu yang engkau pelajari dengan atsar-atsar?
في ترك أبواب السلاطين
Yang berupa anjuran meninggalkan pintu-pintu pemerintah?
إن قلت أكرهت فماذا كذا
Jika engkau mengatakan: “Aku terpaksa?” Kenapa jadi begitu…
زل حمار العلم في الطين
Demikianlah keldai ilmu terjatuh di dalam lumpur.
لا تبع الدين بالدنيا كما
Janganlah menjual agama dengan dunia…
يفعل ضلال الرهابين
Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib (pendeta) yang sesat…”

* Sya’ir ini asalnya ditujukan untuk Imam ‘Isma’il B. ‘Ulayyah rahimahullah kerana menerima satu jawatan di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid.

(Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 9/110 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Khamis, 4 Oktober 2012

Galakan Belajar dan Berbahasa Arab

Diantara salah satu arahan yang diberikan oleh Umar bin al-Khattab RA di dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy'ari dan mereka yang lainnya semasa dibawah pemerintahannya adalah, "Carilah ilmu dan dan kefahaman di dalam Sunnah (berkenaan masalah fiqh) dan carilah ilmu dan kefahaman di dalam Bahasa Arab".

Rujukan : Ibnu Abi Syaibah, al-Musannaf jilid 6, m/s 126.

Pernah juga diriwayatkan bahawasanya Umar pernah berkata, "Belajarlah Bahasa Arab, kerana ia meningkatkan tahap kecerdasan seseorang dan meningkatkan perilaku murni seseorang (al-Muru'ah)".

Rujukan : Imam al-Bayhaqi, Syu'ab al-Iman, jilid 4, m/s 187

Umar juga berkata, "Janganlah mempelajari ucapan orang bukan Arab (orang-orang kafir) dan jangan bersama-sama dengan golongan Musyrik di dalam tempat ibadah mereka (masuk kedalam) semasa cuti perayaan mereka, kerana kemurkaan Allah akan turun pada mereka pada kemudian hari".

Rujukan : Abd al-Razzaq al-San'ani, al-Musannaf jilid 1, m/s 411

Dikhabarkan juga tentang satu peristiwa dimana beliau (Umar) sedang tawaf mengelilingi Kaa'bah dan beliau terdengar dua orang lelaki di belakangnya bercakap dalam bahasa asing. Beliau kemudiannya berpaling kepada mereka dan berkata, "Carilah jalan untuk belajar Bahasa Arab".

Rujukan :  Abd al-Razzaq al-San'ani, al-Musannaf jilid 5, m/s 496

Diriwayatkan bahawasanya Abdullah bin Ka'ab RA pernah berkata, "Belajarlah Arab sebagaimana kamu berusaha untuk menghafal al-Quran".

Rujukan : Ibnu Abi Syaibah, al-Musannaf jilid 7 m/s 150

Diceritakan juga bahawasanya Ibn Umar (Abdullah bin Umar) RA pernah memukul anaknya kerana kerap kali melakukan kesilapan bahasa.

Rujukan : Ibn Hajar al-Asqalaani, Tahzib al-Tahzib jilid 9, m/s 292

Diriwayatkan juga bahawasanya Syu'bah RA pernah berkata, "Belajarlah Bahasa Arab, kerana ianya meningkatkan kecerdasan akal".

Rujukan : Ibn Hajar al-Asqalaani, Tahzib al-Tahzib jilid 4 m/s 303

Diceritakan bahawasanya Atta' bin Abi Rabah RA pernah berkata, "Alangkah baiknya jika aku fasih dalam berbahasa Arab" ketika beliau berusia sembilan puluh tahun.

Rujukan : Imam az-Zahabi, Syi'ar A'lam an-Nubala', di dalam biografi Atta' bin Abi Rabah

Ibnu Shubrumah sendiri pernah berkata, "Kaum lelaki tidak pernah memakai pakaian yang lebih cantik daripada Bahasa Arab".

Rujukan : Imam al-Bayhaqi, Syu'ab al-Iman jilid 4, m/s 197


Isnin, 10 September 2012

Hidupkan Sunnah dikala Berseorangan

Peringatan dari Al-Imam al-Bukhari rahimahullah :

"Orang Muslim yang paling utama adalah orang yang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW yang telah ditinggalkan manusia, maka bersabarlah wahai para pencinta sunnah Rasulullah kerana sesungguhnya kalian adalah orang yang paling sedikit jumlahnya di kalangan manusia."

(al-Jami' li Akhlaqir Rawi 1/168 Imam Khatib Al-Baghdadi rahimahullah).

Ciri Orang yang Berakal


Diriwayatkan bahawasanya Amru bin al-'As RA pernah berkata,

“Orang yang berakal bukanlah orang yang sekedar mengetahui yang baik dari yang buruk, akan tetapi orang yang berakal adalah orang yang mengetahui mana yang baik dari dua keburukan.”

Rujuk : Imam az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala', III/74
Kata-kata diatas adalah bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. [Surah al-Maaidah, 5:100]

Khamis, 16 Ogos 2012

Tundukkanlah Pandanganmu

Diriwayatkan bahawasanya Salman al-Farisi RA telah berkata;

"Aku lebih sanggup untuk mati kemudian dibangkitkan kembali, kemudian mati dan dibangkitkan lagi, dan kemudian lagi mati dan dibangkitkan kembali daripada aku melihat aurat orang lain dan juga daripada orang lain melihat auratku".

Rujuk : Imam Ahmad, al-Zuhd, m/s 192. Edisi cetakan pertama, 1983. Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Lubnan.

Diberitakan juga bahawasanya Abdullah bin 'Umar RA telah berkata;

"Sesungguhnya, diantara perkara perlu diabaikan olehmu adalah melihat kedalam rumah orang lain".

Rujuk : Ibn Abi Dunya, Kitab al-Wara', 71.

Anas bin Malik RA telah berkata;

"Jika seseorang perempuan berjalan melintasi hadapan kamu, tundukkanlah pandanganmu hingga dia telah berlalu pergi".

Rujuk : Ibid, 72.

Diriwayatkan juga bahawasanya al-'Ala bin Ziyad RA telah berkata;

"Jangan biarkan pandanganmu mengikuti belakang seorang wanita (ketika dia melintasi kamu) kerana pandangan menimbulkan keinginan di dalam hati."

Rujuk : Ibid, 77.

Diriwayatkan bahawasanya al-Waki' bin al-Jarrah RA telah berkata;

"Kami keluar bersama pada suatu hari di hari raya bersama Sufyan al-Tsauri dan beliau berkata: "Perkara pertama yang akan kita lakukan pada hari ini ialah dengan menundukkan pandangan".

Rujuk : Ibid, 66.


Jumaat, 10 Ogos 2012

Fitnah itu Ibarat Memakan Daging Saudara

Amru bin al-'As (RA) sedang berjalan bersama sekumpulan rakannya, kemudian mereka melepasi satu bangkai keldai yang telah kembung dan reput. Kemudian beliau berkata, "Demi Allah, memakan isi daripada bangkai ini adalah lebih baik daripada memakan daging saudara Muslim (dengan memfitnahnya)!".

Imam Bukhari, al-Adab al-Mufrad. Syeikh al-Albaani mengatakan bahawa rantaian periwayatan ini adalah sahih. Rujuk Shahih al-Adab al-Mufrad, m/s 266.


Khamis, 9 Ogos 2012

Amalan Kebajikan Rahsia Ali bin Husain

Diberitakan bahawasanya ada sebilangan golongan fakir miskin di Madinah yang dimana mereka sendiri tidak mengetahui akan siapakah gerangan yang selalu memberikan mereka makanan. Apabila Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, mereka mula merasakan kehilangan sesuatu yang kebiasaannya mereka akan mendapatkannya pada waktu malam (makanan).

Abu Hamzah al-Thumaili menceritakan bahawa Ali bin Husain Zainal Abidin selalu membawa roti dibelakangnya ketika malam menjelma dan mengekori para fakir miskin (untuk diberikan kepada mereka). Beliau selalu berkata, "Amalan kebajikan yang dilakukan dalam kegelapan malam mampu memadamkan kemurkaan Allah."

'Amr bin Thabit meriwayatkan bahawasanya apabila Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, mereka mendapati kesan parut dibelakangnya yang dimana beliau selalu memikul guni makanan yang selalu beliau gunakan pada waktu malam dalam perjalanan ke rumah para wanita yang mejanda (untuk disedekahkan).

Shaybah bin Nu'amah menyatakan bahawasanya selepas Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, barulah mereka mendapat tahu bahawa beliau pada ketika hayatnya selalu menyediakan makanan buat ratusan keluarga yang miskin.

Rujukan: Imam az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala' dalam tajuk biografi Ali bin Husain Zainal Abidin.


Selasa, 7 Ogos 2012

Bencana pada Ilmu

Imam az-Zuhri pernah berkata,

"Sesungguhnya pada ilmu pengetahuan itu ada bencana (yang bakal menimpanya). Salah satunya ialah apabila perginya seorang ulama', maka ilmu akan turut berlalu pergi bersamanya. Juga dengan melupakan ilmu pengetahuan. Namun malapetaka berbohong/berdusta (tentang ilmu) adalah yang paling buruk."

Ibnu 'Abid al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm, 684

Isnin, 6 Ogos 2012

Punca Kematian Imam Muslim

Diriwayatkan oleh Ahmad bin Salamah;

Satu perbincangan mengenai ilmu dan ulangkaji telah diadakan untuk Abu Husain Muslim bin al-Hajjaj dimana ketika itu ada suatu hadith yang tidak diketahuinya telah diucapkan dihadapan beliau. Kemudian beliau pulang ke rumah lalu menyalakan lampu pelitanya dan seraya berkata kepada isi rumahnya, "Tiada sesiapapun yang dibenarkan untuk masuk ke dalam rumah ini (tiada sesiapa pun yang dapat mengganggu aku)." Kemudian beliau diberitahu, "Kita telah dihadiahkan sebakul kurma." Lalu beliau (Imam Muslim) berkata, "Hidangkan sedikit untuk aku." lantas mereka menghidangkan sedikit buat beliau. Kemudian beliau memulakan pencarian berkenaan hadith tersebut (dalam manuskrip-manuskrip kepunyaan beliau) sambil memakan kurma tersebut sehinggalah terbitnya waktu pagi, ketika mana habisnya kurma yang dihidangkan, beliau akhirnya menjumpai hadith tersebut.

Muhammad bin Abdillah (salah seorang yang menceritakan peristiwa ini) turut berkata, "Sahabat kami yang terpercaya mengatakan bahawasanya inilah punca penyebab kepada kematian beliau."

Rujukan: Imam az-Zahabi, dalam kitabnya, Syiar A'lam an-Nubala' dalam bab biografi Imam Muslim.

Ahad, 5 Ogos 2012

Taubat itu Bermula dari Tindakan

Diriwayatkan bahawasanya Ali bin Husain Zainal Abidin (RA) pernah berkata,

"Taubat itu hanyalah menerusi tindakan, dan juga memalingkan diri daripada perbuatan lalu. Taubat bukanlah hanya pada ucapan semata-mata."

Ibnu Abi al-Dunya, at-Taubah, 57.

Hidup ini hanyalah sementara

Diriwayatkan bahasawanya beberapa orang telah bertanya kepada Saidina Ali bin Abi Talib (RA) akan keperihalan dunia. Beliau (RA) berkata :

"Adakah kamu semua ingin penerangan yang panjang ataupun ringkas?" Mereka menjawab, "Kami mahukan yang ringkas." Beliau berkata, "Kamu tidak akan dipertanggungjawabkan diatas perkara yang halal, namun perkara yang haram akan membawa kamu ke neraka."

Ibnu Abi Dunya, Dham al-Dunya, 17


Isnin, 30 Julai 2012

Kejujuran Para Sahabat dalam Ilmu

Abdurrahman bin Abi Layla RA telah berkata,

"Aku telah bertemu dengan 120 orang dari kalangan para Sahabat, tiada seorang pun diantara mereka yang akan meriwayatkan hadith kecuali mereka mahu saudara mereka untuk memberi teguran kepada mereka, dan tiada pula diantara mereka yang mengeluarkan fatwa kecuali mereka mahu saudara mereka untuk membantu mereka sebaliknya."

Ibnu al-Mubarak, al-Zuhd Wa al-Raqa'iq, Jilid 1, m/s 140, no.49

Siapa yang boleh mengeluarkan Fatwa?

Diriwayatkan bahawasanya suatu hari Imam Malik (RAH) ditanya seseorang, "Siapakah yang boleh mengeluarkan fatwa?" Lalu beliau menjawab,

"Mengeluarkan fatwa itu tidak dibenarkan (dilarang) kecuali bagi seseorang  yang mengetahui (dengan jelas) tentang apa yang orang lain berbeza pendapat (khilaf) dalam sesuatu." Orang tersebut bertanya lagi, "Adakah engkau maksudkan pandangan manusia yang berbeza terhadap sesetengah pendapat (orang ramai yang lebih bergantung kepada analogi dan spekulasi)?". Imam Malik menjawab lagi, "Tidak, yang aku maksudkan adalah khilaf diantara para sahabat Rasulullah SAW. Seseorang itu juga haruslah mengetahui (dengan mendalam) akan bukti/petunjuk akan sesuatu hukum yang telah dimansukhkan dan apa yang dimansukhkan (oleh dalil yang lain), sama ada di dalam Quran atau pun Hadith. (Jika cukup syarat tersebut maka) Seseorang tersebut boleh mengeluarkan fatwa."

Rujukan : Ibnu 'Abd al-Barr, Jami' Bayan al-'Ilm wa Fadlihi, 1529


Diriwayatkan juga bahawasanya Abdullah bin al-Mubarak RA telah ditanya, "Bilakah seseorang itu boleh mengeluarkan fatwa?". Beliau membalas, "Apabila seseorang itu mengetahui (dengan mendalam) tentang periwayatan (hadith dan athar para Salaf), dan mempunyai pemahaman mendalam dalam pendapat (hukum)."

Rujukan : Ibid, 1532


Jahil : Belajar Quran tanpa Memahami Sunnah

Diriwayatkan bahawa 'Imran bin Husayn RA, ketika mana beliau di tengah-tengah kelompok orang ramai lalu seorang lelaki berkata;

"Tinggalkan ini dan berikan kami sesuatu yang dari Kitab Allah". Lalu 'Imran membalas, "Kamu ini dungu (bodoh). Adakah dapat kamu ketahui butiran tatacara tentang solat di dalam Quran? Adakah juga kamu dapati huraian tentang puasa di dalam Quran? Inilah al-Quran yang menetapkan perkara tersebut, dan Sunnah pula menjelaskan (tentang perkara tersebut)".

al-Harawi, Dham al-Kalam, 244 dengan berbagai lafaz.


Ahad, 29 Julai 2012

Lebih Mulia menjadi Debu Tanah

Abdullah bin 'Amr RA telah berkata,

"Adalah lebih baik untuk seseorang itu menjadi tanah daripada sengaja berjalan dihadapan orang yang sedang solat".

Ibnu 'Abd al-Barr, at-Tamhid. Dinilai sahih oleh Syeikh al-Albaani dalam Sahih al-Targhibi wa al-Tarhib, Jilid 1 m/s 135.

Mohonlah kepada Allah agar dikekalkan Iman

Mu'awiyah bin Qurrah meriwayatkan bahawa Abu Darda' selalu mengucapkan, "Kami bermohon kepada Allah agar dikekalkan Iman, keyakinan yang benar, dan ilmu yang bermanfaat". Beliau (Mu'awiyah) menambah, "Ini menunjukkan bahawa terdapat keimanan yang berkekalan, dan adanya keyakinan yang tidak pasti dan juga adanya cabang ilmu yang tidak bermanfaat".

Ibnu Battah, al-Ibanah al-Kubra, Jilid 2, m/s 498.

Nota :

Doa yang dinyatakan diatas adalah seperti berikut (di dalam teks Arab);

نسأل الله إيماناً دائماً ؛ ويقيناً صادِقاً ؛ وعلماً نافِعاً


4 Petanda Mereka yang Celaka

Diriwayatkan bahawasanya Hassan al-Basri RA pernah berkata;

"Empat petanda kecelakaan (bagi seseorang) adalah; mempunyai hati yang keras, mata yang kering (tidak pernah menangis - kerana takutkan Allah), mempunyai harapan yang tinggi yang berlebihan (tentang hidup) dan tamak dan bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan perkara duniawi."

Ibnu Abi Dunya, Kitab al-Zuhd, 36.

Dunia itu Sementara

Diriwayatkan bahawasanya Abdullah bin Mas'ud RA telah berkata;

الدنيا دار من لا دار له، ومال من لا مال له، ولها يجمع من لا عقل له
"Dunia ini hanyalah rumah bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal yang sebenar (di Syurga), dan ianya merupakan kekayaan bagi orang yang tidak mempunyai kekayaan sebenar, dan juga akan dikumpul dan dipungut oleh orang-orang yang tidak mempunyai kepintaran yang sebenar".

Ibnu Abi Dunya, Dhaam al-Dunya, artikel 16.



Kalam nan Indah [Ikhlas]

Diriwayatkan bahawa anak kepada Fudail bin 'Ayyad Radhiallahu 'anhu pernah berkata kepada bapanya;

"Wahai ayah, alangkah indahnya kata-kata yang diucapkan oleh para sahabat!". Berkata Fudail, "Tahukah kamu wahai anakku mengapa ianya begitu indah?". Anaknya menjawab, "Tidak wahai ayahku". Balas beliau, "Tidak lain tidak bukan adalah mereka memperoleh (kata-kata tersebut) daripada Allah apabila mereka bertutur."

Rujukan : al-Bayhaqi, Syu'aib al-Iman 2:299




Segalanya bermula dengan Niat

Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki."
(HR Bukhari dan Muslim)

Ini adalah diantara hadith yang masyhur yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat kita, bahkan para ulama' biasanya memulakan segala tugasan mereka dengan berpandukan hadith ini. Disini disertakan secara ringkas huraian hadith diatas oleh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya, Jami' al-Ulum wal Hikam yang mensyarahkan keseluruhan hadith dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi:

Imam Bukhari memulakan mukaddimah dalam Shahihnya dengan hadith ini (sebagaimana juga Imam Nawawi dalam Hadith 40) yang dimana ianya memperingatkan kepada kita semua bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang semata-mata bukan untuk mencari keredhaan Allah maka dia tidak akan menerima imbalannya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Abdul Rahman bin Mahdi, salah seorang 'alim dalam bidang hadith berkata; "Jika aku hendak menyusun satu karangan di dalam bab-bab, aku pasti akan meletakkan hadith ini pada awal setiap bab tersebut". Beliau juga turut berkata, "Jika seseorang itu mahu mengarang tulisan, hendaklah dia bermula dengan hadith berkenaan tujuan dan niat".

Hadith ini membentuk satu prinsip asas dalam Islam dan merupakan paksi dalam persekitaran cara hidup kita.

Berkata Imam al-Syafi'i, "Hadith ini merupakan satu pertiga daripada ilmu pengetahuan, dan ia berkaitan dengan 70 cabang dalam bidang Fiqh (kefahaman agama yang betul)".

Berkata pula Imam Ahmad, "Asas dalam Islam adalah berpaksikan 3 hadith; satu diriwayatkan oleh Umar (Setiap amalan itu bermula dengan niat), satu diriwayatkan oleh 'Aisyah (Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan daripada kami, maka ianya adalah tertolak) serta satunya yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Bashir (Perkara yang halal dan perkara yang haram adalah jelas...)".

Hadith ini mengajarkan kepada kita akan prinsip bahawa penerimaan amalan kita (sama ada diterima atau tidak) adalah bergantung kepada niat disebaliknya. Jika niat tersebut adalah baik dan ikhlas untuk menggapai keredhaan Allah, maka ianya dikira sebagai satu amal soleh. Namun jika sebaliknya, amalan itu akan dikira sebagai sia-sia dan tidak diterima. Inilah antara perkara pertama yang harus diambil kira.

Syarat lain yang perlu diambil kira bagi memastikan sesuatu amalan itu untuk diterima adalah dengan menjadikan setiap satu amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan juga sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh golongan soleh terdahulu. Oleh sebab itu, Baginda SAW menyatakan,

"Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada kami, maka ianya tertolak". [HR Bukhari dan Muslim]


Ibnu Rajab, Jami' al-Ulum Wa al-Hikam




 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @