Khamis, 16 Ogos 2012

Tundukkanlah Pandanganmu

Diriwayatkan bahawasanya Salman al-Farisi RA telah berkata;

"Aku lebih sanggup untuk mati kemudian dibangkitkan kembali, kemudian mati dan dibangkitkan lagi, dan kemudian lagi mati dan dibangkitkan kembali daripada aku melihat aurat orang lain dan juga daripada orang lain melihat auratku".

Rujuk : Imam Ahmad, al-Zuhd, m/s 192. Edisi cetakan pertama, 1983. Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Lubnan.

Diberitakan juga bahawasanya Abdullah bin 'Umar RA telah berkata;

"Sesungguhnya, diantara perkara perlu diabaikan olehmu adalah melihat kedalam rumah orang lain".

Rujuk : Ibn Abi Dunya, Kitab al-Wara', 71.

Anas bin Malik RA telah berkata;

"Jika seseorang perempuan berjalan melintasi hadapan kamu, tundukkanlah pandanganmu hingga dia telah berlalu pergi".

Rujuk : Ibid, 72.

Diriwayatkan juga bahawasanya al-'Ala bin Ziyad RA telah berkata;

"Jangan biarkan pandanganmu mengikuti belakang seorang wanita (ketika dia melintasi kamu) kerana pandangan menimbulkan keinginan di dalam hati."

Rujuk : Ibid, 77.

Diriwayatkan bahawasanya al-Waki' bin al-Jarrah RA telah berkata;

"Kami keluar bersama pada suatu hari di hari raya bersama Sufyan al-Tsauri dan beliau berkata: "Perkara pertama yang akan kita lakukan pada hari ini ialah dengan menundukkan pandangan".

Rujuk : Ibid, 66.


Jumaat, 10 Ogos 2012

Fitnah itu Ibarat Memakan Daging Saudara

Amru bin al-'As (RA) sedang berjalan bersama sekumpulan rakannya, kemudian mereka melepasi satu bangkai keldai yang telah kembung dan reput. Kemudian beliau berkata, "Demi Allah, memakan isi daripada bangkai ini adalah lebih baik daripada memakan daging saudara Muslim (dengan memfitnahnya)!".

Imam Bukhari, al-Adab al-Mufrad. Syeikh al-Albaani mengatakan bahawa rantaian periwayatan ini adalah sahih. Rujuk Shahih al-Adab al-Mufrad, m/s 266.


Khamis, 9 Ogos 2012

Amalan Kebajikan Rahsia Ali bin Husain

Diberitakan bahawasanya ada sebilangan golongan fakir miskin di Madinah yang dimana mereka sendiri tidak mengetahui akan siapakah gerangan yang selalu memberikan mereka makanan. Apabila Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, mereka mula merasakan kehilangan sesuatu yang kebiasaannya mereka akan mendapatkannya pada waktu malam (makanan).

Abu Hamzah al-Thumaili menceritakan bahawa Ali bin Husain Zainal Abidin selalu membawa roti dibelakangnya ketika malam menjelma dan mengekori para fakir miskin (untuk diberikan kepada mereka). Beliau selalu berkata, "Amalan kebajikan yang dilakukan dalam kegelapan malam mampu memadamkan kemurkaan Allah."

'Amr bin Thabit meriwayatkan bahawasanya apabila Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, mereka mendapati kesan parut dibelakangnya yang dimana beliau selalu memikul guni makanan yang selalu beliau gunakan pada waktu malam dalam perjalanan ke rumah para wanita yang mejanda (untuk disedekahkan).

Shaybah bin Nu'amah menyatakan bahawasanya selepas Ali bin Husain (RA) meninggal dunia, barulah mereka mendapat tahu bahawa beliau pada ketika hayatnya selalu menyediakan makanan buat ratusan keluarga yang miskin.

Rujukan: Imam az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala' dalam tajuk biografi Ali bin Husain Zainal Abidin.


Selasa, 7 Ogos 2012

Bencana pada Ilmu

Imam az-Zuhri pernah berkata,

"Sesungguhnya pada ilmu pengetahuan itu ada bencana (yang bakal menimpanya). Salah satunya ialah apabila perginya seorang ulama', maka ilmu akan turut berlalu pergi bersamanya. Juga dengan melupakan ilmu pengetahuan. Namun malapetaka berbohong/berdusta (tentang ilmu) adalah yang paling buruk."

Ibnu 'Abid al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm, 684

Isnin, 6 Ogos 2012

Punca Kematian Imam Muslim

Diriwayatkan oleh Ahmad bin Salamah;

Satu perbincangan mengenai ilmu dan ulangkaji telah diadakan untuk Abu Husain Muslim bin al-Hajjaj dimana ketika itu ada suatu hadith yang tidak diketahuinya telah diucapkan dihadapan beliau. Kemudian beliau pulang ke rumah lalu menyalakan lampu pelitanya dan seraya berkata kepada isi rumahnya, "Tiada sesiapapun yang dibenarkan untuk masuk ke dalam rumah ini (tiada sesiapa pun yang dapat mengganggu aku)." Kemudian beliau diberitahu, "Kita telah dihadiahkan sebakul kurma." Lalu beliau (Imam Muslim) berkata, "Hidangkan sedikit untuk aku." lantas mereka menghidangkan sedikit buat beliau. Kemudian beliau memulakan pencarian berkenaan hadith tersebut (dalam manuskrip-manuskrip kepunyaan beliau) sambil memakan kurma tersebut sehinggalah terbitnya waktu pagi, ketika mana habisnya kurma yang dihidangkan, beliau akhirnya menjumpai hadith tersebut.

Muhammad bin Abdillah (salah seorang yang menceritakan peristiwa ini) turut berkata, "Sahabat kami yang terpercaya mengatakan bahawasanya inilah punca penyebab kepada kematian beliau."

Rujukan: Imam az-Zahabi, dalam kitabnya, Syiar A'lam an-Nubala' dalam bab biografi Imam Muslim.

Ahad, 5 Ogos 2012

Taubat itu Bermula dari Tindakan

Diriwayatkan bahawasanya Ali bin Husain Zainal Abidin (RA) pernah berkata,

"Taubat itu hanyalah menerusi tindakan, dan juga memalingkan diri daripada perbuatan lalu. Taubat bukanlah hanya pada ucapan semata-mata."

Ibnu Abi al-Dunya, at-Taubah, 57.

Hidup ini hanyalah sementara

Diriwayatkan bahasawanya beberapa orang telah bertanya kepada Saidina Ali bin Abi Talib (RA) akan keperihalan dunia. Beliau (RA) berkata :

"Adakah kamu semua ingin penerangan yang panjang ataupun ringkas?" Mereka menjawab, "Kami mahukan yang ringkas." Beliau berkata, "Kamu tidak akan dipertanggungjawabkan diatas perkara yang halal, namun perkara yang haram akan membawa kamu ke neraka."

Ibnu Abi Dunya, Dham al-Dunya, 17


 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @