Jumaat, 28 Disember 2012

Cintakan Saudara sebagaimana Cintakan Diri Sendiri

Ayub as-Sakhtiyani RA mengungkapkan,

"Ketika aku diberitahu tentang kematian salah seorang di antara Ahlus Sunnah, seolah-olah aku kehilangan salah satu daripada anggota tubuhku."

[Syarah I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, I:66 no.29]

Ikhlaskan Hati, Sembunyikan Amal Soleh.

Semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan mereka yang mengikuti para Salaf dan juga mengurniakan keikhlasan hati dan menjadikan segala amal perbuatan kita sebagai amal soleh.

Salaam berkata, "Ayub as-Sakhtiyani Radhiyallahu anhu selalu menunaikan solat disepanjang malam dan tiada sesiapa pun yang mengetahuinya. Maka apabila Menjelang waktu pagi, Ayub Radhiyallahu anhu akan meninggikan suara beliau (menguap) lalu orang-orang akan Berfikir bahawa beliau Baru terjaga daripada tidurnya ".

Rujukan: Imam az-Zahabi, Siyar a'lam an Nubala 'Jil. 6, hal. 17

Selasa, 4 Disember 2012

Kisah Imam al-Bukhari bersama Penghutang yang melarikan diri

Oleh: Muhammad Fathi `Ali al-Tabib al-Sakandary

Imam al-Zahabi meriwayatkan dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/446), dan juga Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Subki (2/227) dengan sanad mereka bahawa Imam Muhammad ibn Abi Hatim berkata ketika beliau berada di kota Firabr bersama Imam al-Bukhari, beliau mendengar khabar berita bahawa seorang lelaki fulan baru sahaja tiba di kota Aamul. Lelaki itu seorang yang 'penting' kerana dia telah berhutang dengan Imam al-Bukhari dengan sejumlah hutang yang besar (iaitu sebanyak 25,000 Dirham).

Imam Muhammad ibn Abu Hatim dan lain-lain yang bersama-sama Imam al-Bukhari pun berkata kepada Imam al-Bukhari: "Kamu mesti kesana (iaitu ke Aamul) dan tuntut wang kamu daripadanya", jawab Imam al-Bukhari: "Bukanlah hak kita untuk kesana dan menakut-nakutkan dia". Namun, telah terlambat kerana sebaik sahaja si lelaki Penghutang itu mendapat tahu bahawa Imam al-Bukhari berada di kota Fibrabr (yang dekat dengan kota Aamul), maka dia pun meninggalkan Aamul dan pergi melarikan diri ke kota Khawaarizm.

Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakannya kemudian berkata kepada Imam al-Bukhari: "Kita perlu beritahu hal ini kepada gebenor kota Aamul iatu Abu Salamah al-Kashshaanee meminta agar beliau menulis surat kepada gabenor Khawaarizm, memerintahkan supaya lelaki Penghutang itu ditangkap, dan memerintah agar apa yang berhak kepada kamu dikembalikan kepada kamu (iaitu dibayar hutang)". Apabila mendengarkan cadangan ini Imam al-Bukhari membantah seraya berkata: "Sekiranya aku meminta pihak pemerintah agar menulis surat arahan itu, nescaya mereka - pemerintah - akan meminta sesuatu daripadaku sebagai balasan (iaitu mempergunakan Imam al-Bukhari untuk kuasa politik) dan aku tidak sama sekali akan menjual agamaku kerana suatu hal yang tidak penting daripada bahagian keduniaanku".

Akhirnya Imam Muhammad ibn Abi Hatim dan rakan-rakanya gagal meyakinkan Imam al-Bukhari agar mengejar si lelaki Penghutang itu, maka mereka membuat keputusan untuk bertindak sendiri-sendiri. Tanpa memberitahu Imam al-Bukhari, mereka pergi bertemu gabenor yang kemudiannya menulis surat yang ditujukan kepada gabenor Khawaarizm kepada mereka. Apabila Imam al-Bukhari mengetahui akan hal yang telah mereka lakukan, beliau berkata kepada mereka: "Jangan lah kamu tunjukkan belas kasihan kepadaku atas perkara-perkara yang aku sendiri tidak tunjukkan belas kasihan kepada diriku sendiri". Kemudian Imam al-Bukhari menulis banyak surat-surat mengarahkan rakan-rakan beliau yang berada di kota Khawaarizm untuk tidak menangkap atau mengganggu si lelaki Penghutang itu, sebaliknya melayan dia dengan baik.

Kemudian si lelaki Penghutang itu melarikan diri ke kota Marwu. Ketika itu gabenor di kota Marwu telah masuk campur dan ingin menghukum si lelaki yang berhutang dengan Imam al-Bukhari itu dengan hukuman undang-undang, dan ini sangat mendukacitakan Imam al-Bukhari. Maka Imam al-Bukhari pun keluar pergi mencari si lelaki Penghutang itu sendiri, dan apabila Imam al-Bukhari bertemu lelaki tersebut beliau sangat berlembut dengan dia. Lelaki itu berhutang sebanyak 25,000 Dirham daripada Imam al-Bukhari, pun begitu Imam al-Bukhari bersetuju untuk mengambil sebanyak 10 Dirham sahaja setiap bulan daripadanya (iaitu Imam al-Bukhari bersetuju agar si lelaki itu membayar hutang secara ansuran dengan 10 Dirham sebulan). Imam al-Bukhari telah menyelamatkan si lelaki Penghutang itu daripada hukuman undang-undang pihak Pemerintah, dan Imam al-Bukhari tidak meminta wang lebih walaupun 1 Dirham daripada lelaki itu (iaitu tiada sebarang riba dikenakan)" 

[Rujuk: al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/ 446), al-Subki, Tabaqat al-Subki (2/227)]

Nota : Kisah ini juga menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari bukanlah seorang yang miskin papa kedana sebagaimana sangkaan sesetengah pihak, kerana orang yang miskin tidak mampu memberi hutang sebanyak 25,000 dirham, kecuali mereka yang berada sahaja.

Projek bangunan oleh Imam al-Bukhari

Imam Zahabi dalam Siyar `Alam al-Nubala (12/450) dan Imam Ibnu Hajar dalam Muqaddimah al-Fath (505) meriwayatkan dengan sanad mereka bahawa Imam al-Bukhari pernah memulakan satu projek membina bangunan berdekatan Bukhara - tempat tinggal asalnya al-Bukhari - .

Ramai manusia datang membantu untuk projek binaan itu dan Imam al-Bukhari sendiri turun membantu dengan membawa batu-bata binaan bersama-sama para pekerja lain. Dan sememangnya telah cukup ramai tenaga para pekerja untuk projek tersebut, memandangkan Imam al-Bukhari yang menaja projek binaan itu, maka Imam Muhammad ibn Abu Hatim merasakan Imam al-Bukhari tidak perlu bersusah-payah turun padang mengangkat batu-bata bersama, kata Imam Muhammad ibn Abu Hatim kepada Imam al-Bukhari: 

"Wahai Abu Abdullah (iaitu kunyah kepada Imam al-Bukhari), kamu tidak perlu berkerja - mengangkat batu-bata bersama - kerana telah amat cukup tenaga pekerja yang menguruskan apa yang perlu diuruskan". Maka jawab Imam al-Bukhari : "Kerja-kerja kebajikan sebeginilah yang menguntungkan kita - di hari Akhirat kelak, maka biarkan aku berkerja - ".

Imam al-Bukhari menjemput kesemua manusia - para pekerja projek itu dan lain-lainnya - untuk makan (jamuan). Seramai - kira-kira - 100 manusia memenuhi jemputan jamuan tersebut, walaupun Imam al-Bukhari tidak menyangka manusia yang datang begitu ramai, mereka semua diberkati dengan makanan yang diberikan mereka, dan mereka makan hingga kenyang"

[Rujuk: Imam Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala (12/450), Ibnu Hajar, Muqaddimah al-Fath (505), Salahuddin Ali Abdul Maujud, Sirah al-Imam al-Bukhari (114)]

Wafatnya Imam Bukhari malam Aidil Fitri

Tahukah kita bahawa seorang tokoh besar yang ramai kita kenali wafat pada malam Aidil Fitri? Beliaulah Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari, penyusun kitab Sahih Bukhari.

Ibn `Adiy meriwayatkan daripada al-Bazzaz katanya:



توفي البخاري ليلة السبت ليلة الفطر عند صلاة العشاء، ودفن يوم الفطر بعد صلاة الظهر سنة ست وخمسين ومئتين.
وعاش اثنتين وستين سنة


"al-Bukhari wafat pada Sabtu, malam Aidil Fitri, sekitar waktu Isyak, dan beliau dikebumikan pada hari Aidil Fitri selepas solat Zuhur. Kesemuanya ini berlaku pada tahun 256H, maksudnya beliau hidup selama 62 tahun.."

Moga Allah SWT merahmati al-Imam, meluaskan kuburnya, dan menempatkan al-Imam dalam SyurgaNya. Beliau pergi meninggalkan jasa yang amat besar kepada umat Islam seluruhnya.

Rujukan: Imam Zahabi,
Siyar `Alam al-Nubala' (12/468)
 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @