Sabtu, 30 Jun 2012

Fatwa Sahabat dalam Tindakan Meninggalkan Solat

Abdullah bin Shaqiq al-Uqaili RA berkata,

"Para sahabat RA tidak mengatakan bahawa dengan meninggalkan segala sesuatu daripada Islam itu bermakna telah jatuh kafir, kecuali dalam bab meninggalkan solat (sembahyang)."

Imam at-Tirmidzi, Jami', hadith no 2622. Dinilai sahih oleh al-Albaani.

Jumaat, 29 Jun 2012

Bolehkah Merayakan Perayaan Orang Bukan Islam?

Diriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab RA berkata, "Jauhilah musuh-musuh Allah sewaktu perayaan-perayaan mereka".

Beliau (Umar) juga turut berkata, "Janganlah mempelajari ucapan orang bukan Arab (orang-orang kafir) dan jangan bersama-sama dengan golongan Musyrik di dalam tempat ibadah mereka (masuk kedalam) semasa cuti perayaan mereka, kerana kemurkaan Allah akan turun pada mereka pada kemudian hari".

Diriwayatkan juga bahawasanya Abdullah bin 'Amr bin al-'As RA berkata, "Barangsiapa yang tinggal di tanah-tanah bukan Arab (orang-orang kafir) dan mengikuti (mengambil bahagian dalam) Nayruz dan Mahrijan (dua perayaan kaum Parsi) dan mengikut jejak mereka (menyalin perayaan yang dilihat sebagai baik) hingga ke akhir usianya, kelak di akhirat nanti dia akan dibangkitkan dan dikumpulkan bersama-sama mereka pada hari kiamat".

Rujukan : Imam al-Bayhaqi, Sunan al-Kubra Jilid 9 m/s 234. Ibnu Taimiyyah (lihat rujukan dibawah) mengatakan periwayatan bagi kenyataan Umar adalah sahih.

Dalam menghuraikan riwayat ini, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah RAH di dalam Majmu' al-Fatawa jil. 23 m/s 325 menyatakan bahawa, 

"Jadi, Jika Umar sendiri melarang pembelajaran bahasa mereka dan sekadar memasuki tempat ibadah mereka pada hari-hari perayaan, bagaimanakah pula dengan mereka yang mengikuti mereka dalam apa yang mereka (orang-orang kafir) lakukan? Atau bagaimana pula dengan seseorang yang mahu melakukan sesuatu yang merupakan sebahagian daripada agama mereka? Tidakkah bersetuju dengan tindakan mereka lebih buruk daripada mempelajari bahasa mereka? Tidakkah melakukan sebahagian daripada ritual keagamaan mereka lebih buruk berbanding hanya sekadar masuk ke dalam rumah ibadah mereka di waktu perayaan mereka? Dan jika kemurkaan Allah turun ke atas mereka sewaktu perayaan ini berlangsung kerana apa yang mereka lakukan, tidakkah orang yang mengambil bahagian dalam tindakan mereka (samada sebahagian mahupun keseluruhan) ini mendedahkan dirinya kepada azab Allah? Dan penyataan ini (Umar), "Jauhilah musuh-musuh Allah sewaktu perayaan-perayaan mereka" bukan merupakan larangan untuk bersama-sama bermesyuarat dengan mereka dan bergaul dengan mereka. Namun bagaimana pula dengan orang yang turut sama mengikuti perlakuan mereka (orang-orang kafir)?".


Saat yang Genting [Ulama' yang Rosak]

Malik bin Dinar RA pernah berkata,

"Sesungguhnya kamu sekarang berada dalam saat yang genting. Hanya mereka yang mempunyai pemahaman yang jelas sahaja yang mengetahui akan zaman yang kamu lalui. Sesungguhnya kamu sekarang berada dalam zaman (orang-orang yang) bermegah-megah dan merasa bangga. Lidah mereka menjadi membengkak di dalam mulut mereka, dan mereka mencari keuntungan duniawi melalui amalan untuk Akhirat. Jadi berhati-hatilah olehmu terhadap mereka kerana kelak kamu akan termasuk ke dalam perangkap mereka. 

Wahai ulama', engkau adalah seorang ulama' namun engkau sentiasa memakan kekayaan dengan ilmu yang ada padamu. Wahai ulama', engkau adalah ulama' namun engkau sentiasa bermegah-megah dengan pengetahuanmu. Wahai ulama', engkau adalah seorang ulama' namun sentiasa berusaha untuk mengumpul kekayaan dengan pengetahuan yang ada padamu. Wahai ulama', engkau adalah seorang ulama' namun engkau melampaui batas (terhadap orang lain) dengan pengetahuan yang ada padamu. Jika engkau telah benar-benar menuntut ilmu hanya kerana Allah, ianya pasti akan dapat dilihat pada dirimu dan amalan kamu."

Abu Bakar al-Ajurri, Kitab al-'Alim al-Jahil, 73. Dinilai sahih oleh Syeikh Yahya al-Hajuri dalam kitab edisinya.

Sebarkanlah Salam

Tufail bin Ubay bin Ka'ab menceritakan bahawa dia selalu pergi kepada Abdullah bin 'Umar dan mengikutinya ke pasar. Katanya, "Setiap kali kami pergi ke pasar, Abdullah bin 'Umar tidak akan sesekali berselisih dengan peniaga barangan murah, para penjual, orang miskin mahupun sesiapa sahaja kecuali dia akan menyapa mereka dengan ucapan Salam". Dia menyambung, "Seperti biasa aku pergi kepadanya lalu Abdullah bin 'Umar mengajakku untuk pergi ke pasar bersamanya. Aku berkata, 'Apakah yang akan engkau buat di pasar? Engkau tidak pernah berhenti untuk membeli apa-apa pun, tidak pernah juga bertanya tentang barangan, tidak pernah tawar menawar sesuatu dan tidak pernah pula bersama-sama dalam perhimpunan pasar. Duduklah bersama kami disini dan kita boleh bersembang.' Kemudian beliau (Abdullah) berkata padaku, 'Wahai Abu Batn (Gelaran kepada Tufail kerana dia mempunyai perut yang besar!), kita hanya keluar (ke pasar) untuk memberikan salam kepada sesiapa sahaja yang kita temui".

- Imam Bukhari, al-Adab al-Mufrad, Disahihkan oleh al-Albaani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, jil.1 m/s 395.

Khamis, 28 Jun 2012

"Aku Duduk bersama Salaf"

Diriwayatkan dari Nu'aim bin Hammad;

Abdullah bin al-Mubarak selalu sahaja tinggal di dalam rumah, lalu kemudian beliau ditanya, "Tidakkah kamu merasa sunyi?". Balas beliau, "Bagaimana mungkin aku boleh merasa sunyi sedangkan aku bersama Rasulullah SAW (membaca dan mengkaji hadithnya)".

Nu'aim meriwayatkan lagi,

Pernah suatu ketika diucapkan kepada Abdullah bin al-Mubarak, "Wahai Abu Abdurrahman, engkau selalu sahaja duduk di dalam rumah". Beliau berkata, "Adakah aku berseorangan? Aku selalu bersama (ditemani) Rasulullah SAW dan para sahabatnya".

Rujukan : Ibnu 'Asakir, Tarikh Dimasyq 32:458

Shaqiq bin Ibrahim pula meriwayatkan,

Pernah suatu ketika kami bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak, "Mengapakah kamu tidak duduk bersama kami sedangkan kamu telah selesai solat berjemaah bersama kami?" Beliau menjawab, "Aku pergi duduk bersama para Sahabat dan Tabi'in". Kami bertanya lagi, "Bagaimana mungkin kamu dapat duduk bersama para Sahabat dan Tabi'in (sedangkan ketika itu mereka semua telah meninggal dunia)?" Beliau menjawab kembali, "Aku duduk dan membaca segala pengetahuan yang telah aku kumpulkan, aku mengkaji riwayat mereka dan amalan mereka. Namun apa pula yang dapat aku lakukan bersama kamu semua? Kamu duduk sambil mengata orang lain!".

Rujukan : Imam az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala', dalam bab biografi Abdullah bin al-Mubarak.


 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @