Selasa, 6 November 2012

Iman itu Bukanlah Hanya di Hati

Imam al-Auzaie RA berkata;

"Keimanan itu tidak akan berbunyi melainkan dengan perkataan (yang benar). Iman dan kata-kata (penyaksian) itu tidak akan berbunyi melainkan dengan amal (amal soleh). Manakala Iman, penyaksian dan amalan tidak akan berbunyi kecuali dengan niat (yang betul) dalam mematuhi sunnah. Golongan terdahulu (salaf) yang telah pergi sebelum kita tidak pernah mengasingkan keimanan daripada perbuatan: perbuatan (amal) adalah sebahagian daripada iman dan iman adalah daripadanya (yakni amal seseorang). Iman adalah satu perkataan yang membawa bersama-sama aspek-aspek dalam beragama dan disahkan melalui amal perbuatan seseorang.

Maka sesiapa yang percaya kepada keterangan tersebut, tahu di dalam hatinya dan mengesahkan (kepercayaan) menerusi perbuatannya, maka ianya adalah ikatan yang amat kuat dan tidak akan putus. Maka dan sesiapa yang menyatakan (perkataan iman) tetapi tidak mengetahui (iman) di dalam hatinya dan juga tidak membuktikan dengan perbuatannya, sesungguhnya ianya tidak akan dapat diterima dan diakhirat nanti seseorang itu akan termasuk di dalam golongan yang menderita dalam kerugian".

Rujukan: Ibnu Battah, al-Ibanah al-Kubra 

Cintailah 3 perkara yang dibenci

Diriwayatkan bahawasanya Abu Darda' RA pernah berkata;

ثلاثة أحبهن ويكرههن الناس الفقر والمرض والموت أحب الفقر تواضعا لربي والموت اشتياقا لربي والمرض تكفيرا لخطيئتي

Tiga perkara yang aku cintai manakala manusia yang lain membencinya: Miskin, Sakit dan Mati. Aku sukakan kemiskinan disebabkan perasaan rendah diriku kepada Tuhanku, dan aku sukakan kematian disebabkan kerinduanku kepada Tuhanku, dan sakit itu sebagai penebus kepada dosa-dosaku.

Rujukan: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an Nubala', II/349.

Membaca Quran dengan Berlagu?

Diriwayatkan bahawasanya ada seseorang pernah membaca al-Quran di dalam nada yang berlagu [1] di hadapan al-A'mash. Lalu al-A'mash menegur dengan berkata:

"Seorang lelaki pernah membaca al-Quran seperti ini dihadapan Anas (Anas bin Malik) RA dan dia dibencinya".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 110.

Diriwayatkan juga bahawasanya Salim (Salim bin Abdillah bin Umar bin al-Khattab - cucu kepada Saidina Umar) RA telah diminta untuk mendengar bacaan seseorang ketika ia memimpin solat (menjadi imam). Apabila beliau mendengar bacaannya lalu dia berpaling dan seraya berkata; "Menyanyi, Menyanyi!".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 183.

Diriwayatkan dalam kitab yang sama bahawasanya ada seorang lelaki di Madinah yang selalu mengimami solat. Pada suatu malam dia membaca Quran hingga terbawa-bawa akan emosinya. [2] al-Qasim bin Muhammad membaca firman Allah berikut; 



Maksudnya; Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

[Surah Fussilat, ayat 41 & 42]

Dan beliau (al-Qasim) membencinya (tindakan pembaca Quran tersebut)

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 184.

Fudail bin 'Ayyad RA sendiri apabila ditanya mengenai persoalan membaca al-Quran dengan bernada lagu [1] lalu beliau menjawab, "Ini adalah sesuatu yang mereka ambil dari seni nyanyian".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 182

Ibnu Dawud (Abdullah bin Dawud bin 'Amir al-Khuraybi) RA pernah ditanya oleh Bisyr bin al-Harith;

"Jika aku melalui berdekatan orang yang sedang membaca Quran, perlukah aku duduk dan mendengar?" Beliau (Ibnu Dawud) bertanya, "Adakah dia menjadi lunak (disebabkan bacaan mendayu-dayu mengikut perasaan)?" Dia menjawab, "Ya". Lalu beliau berkata, "Orang itu telah menunjukkan bid'ah, jangan duduk bersamanya". 

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 186.

Hanbal meriyawatkan:

Abu Abdillah (Imam Ahmad) selalu membenci bacaan bid'ah sebegini yang dipanggil sebagai al-Alhan (bacaan bernada dengan merdu).

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 187

Hanbal turut meriwayatkan bahawasanya Imam Ahmad pernah berkata;

"Bid'ah pembacaan ini dinamakan al-Alhan, aku tidak menyukainya. Beliau amatlah seorang yang tegas terhadap tindakan ini. Tambah beliau, "Aku yakin bahawa ia menyerupai nyanyian, dan al-Quran hendaklah dipelihara daripada perkara sebegini".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 188.

Jika diperhatikan, banyak lagi kata-kata Imam Ahmad yang menyanggah perbuatan ini, antara yang lainnya adalah, 

Apabila ditanya tentang perkara ini (al-Alhan) lalu beliau (Imam Ahmad) berkata;

"Ini adalah bid'ah. Akan tetapi (membaca dengan suara yang baik) jika itu adalah suara semulajadinya (tidak dipaksa-paksa) tidak mengapa, seperti Abu Musa (Abu Musa al-Asy'ari RA)."

Antara jawaban lain beliau;

"Tidak. (Dibolehkan) Jika ianya suara asal seseorang itu, sebagaimana suara Abu Musa. Adapun belajar untuk membaca seperti begitu (memaksa suara untuk merdu) maka itu tidak dibolehkan."

Apabila Imam Ahmad ditanya mengenai bacaan merdu dan mendayu-dayu, beliau menjawab;

"Itu adalah bid'ah". Lalu seseorang memberitahu Imam Ahmad, "Manusia berkumpul untuk mendengarnya". Kemudian Imam Ahmad membalas, "Allahul Musta'an (kepada Allah jualah diminta pertolongan - yakni lafaz dukacita dan penolakan)" 

Juga Imam Ahmad pernah berkata;

"Ianya bid'ah, jangan mendengar kepadanya".

Abdullah bin Yazid al-'Anbari meriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Imam Ahmad,

"Apakah pandangan engkau mengenai bacaan secara Alhan?". Abu Abdillah (Imam Ahmad) bertanya kembali, "Apakah namamu?". Si penanya menjawab, "Muhammad". Imam Ahmad menjawab kembali, "Adakah kamu lebih suka dipanggil Muuhammad (dengan penambahan vokal yang tidak sepatutnya)?".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 99+

Imam Malik bin Anas juga pernah berkata;

"Tidak aku sukai membaca Quran dengan mendayu-dayu, tidak pada bulan Ramadhan mahupun pada masa yang lain, kerana ianya menyerupai nyanyian, dan menyebabkan al-Quran itu untuk dipermainkan. Lalu akan ada yang berkata 'Orang ini lebih merdu bacaannya berbanding orang ini' (Seolah-olah al-Quran kini menjadi bait-bait lagu yang dipertandingkan sesama para qari).

Telah juga sampai kepada pengetahuanku bahawa para hamba wanita kini diajar membaca seperti ini sebagaimana mereka belajar bagaimana untuk menyanyi. Adakah kalian berfikir bahawa inilah cara yang Baginda Rasulullah SAW gunakan ketika membaca Quran?".

Rujukan: al-Qairawani, Kitab al-Jami', m/s 166.

______________

[1] Bahasa Arab: Alhan. Ini membawa erti membaca dalam nada yang merdu, seperti lagu. Lihat nota.
[2] Bahasa Arab: al-Tarb. Ianya merujuk kepada keadaan keamatan emosi yang membawa kepada ungkapan fizikal. Cth: Menangis hingga tersedu-sedu, gembira hingga melompat-lompat. Rujuk nota.

Nota:

Sehubungan dengan beberapa perkara ini, Ibnu Jauzi RAH menyatakan bahawa;

Ketahuilah bahawa bacaan sebegini dibenci berdasarkan kepada beberapa sebab, antaranya; (si pembaca) menggabungkan huruf bersama beberapa huruf lain yang tidak sepatutnya digabungkan, mereka melanjutkan vokal (mad) pada tempat yang tidak sepatutnya dipanjangkan, mereka meninggalkan tanda hamzah dan juga menggandakan konsonan (tasydid) kerana ingin mengekalkan melodi yang dibawa. Bacaan sebegini juga mampu menyebabkan orang awam terbawa-bawa emosi (dalam membaca Quran) dan juga mengalihkan perhatian manusia daripada menghayati al-Quran. [3]

Dalam menjelaskan jenis-jenis bacaan yang dipuji dan dicela, al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RAH menjelaskan,

Apa yang digalakkan dalam syariat adalah untuk mengindahkan bacaan yang membawa kepada penghayatan al-Quran dan usaha untuk cuba memahaminya, lalu menyerah dan merendah diri lalu patuh dengan ketaatan (kepada Allah). Namun dalam soal menggunakan melodi bersuara, ianya digubah dengan gangguan irama yang menghiburkan berdasarkan aturan muzik maka hendaklah al-Quran dihormati dan dijauhkan daripada perkara sebegini untuk diambil pendekatan dalam penyampaian. [4]

[3] Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin m/s 335
[4] Ibnu Katsir, Fada'il al-Quran, m/s 198 

Isnin, 5 November 2012

Taqwa, Keilmuan dan Kecantikan

Diriwayatkan bahawasanya Abu Darda' RA telah berkata;

"Kamu tidak akan menjadi seorang yang alim sehingga kamu berilmu, dan kamu tidak akan sesekali menjadi indah dengan keilmuanmu sehinggalah kamu beramal dengannya".

Rujukan: Ibnu Abd al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm wa Fadhlihi, 1239

Hindari Golongan Kelima

Diriwayatkan bahawasanya Abu al-Darda' RA telah berkata;

"Jadilah ulama' ataupun seorang pelajar, atau jadilah seseorang yang mencintai (ulama') atau pengikut (ulama'). Namun jangan sesekali menjadi yang kelima."

Humaid (salah seorang yang menyampaikan riwayat ini) bertanya kepada al-Hasan (Hasan al-Basri, yakni orang yang meriwayatkan ini daripada Abu Darda'), "Siapakah golongan kelima?" Dia menjawab, "Tukang bid'ah (mubtadi')".

Rujukan: Ibnu Abd al-Barr, Jami' Bayan al-Ilm, I:142

Mengapa Manusia Mengadakan Bid'ah?

Muaz bin Jabal RA telah berkata;

"Sesungguhnya di hadapan kamu akan ada banyak cubaan pada zamannya (fitan) dimana harta akan melimpah ruah, satu hari dimana al-Quran akan dibuka dan dibaca oleh orang-orang beriman dan juga orang-orang munafiq, lelaki dan perempuan, muda dan tua, golongan merdeka mahupun hamba. Pada masa itu berkemungkinan akan ada yang berkata, 'Mengapa orang ramai tidak mengikuti aku sedangkan aku membaca (mempelajari) al-Quran? Mereka tidak akan mengikuti aku sehingga aku mengada-adakan sesuatu yang lain'. Jadi berhati-hatilah kamu akan setiap perkara yang baru (bid'ah dalam agama) kerana perkara-perkara bid'ah adalah kesesatan".

Rujukan: Ibnu Waddah, al-Bida' m/s 62; al-Lalaka'i, Syarh Usul I'tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah jilid 1 m/s 125

3 Perkara yang harus disegerakan

Diriwayatkan bahawasanya al-Ahnaf bin Qays RA telah berkata;

"Sekatan itu dipuji kecuali dalam tiga perkara". Orang bertanya, "Apakah ianya wahai Abu Bahr? (nama timangan kepada al-Ahnaf)" Beliau menjawab, "Berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebajikan (melakukan amal soleh), segerakanlah pengebumian si mati dan nikahkanlah anak gadis anda kepada lelaki yang sesuai (selepas kamu menemuinya)".

Rujuk: Abu Bakar al-Dainuri, al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm, 6:307

Pandangan Saidina Ali tentang Abu Bakar dan Umar

Muhammad bin al-Hanafiyah RA meriwayatkan,

 "Aku bertanya ayahku (Saidina Ali), 'Siapakah insan terbaik selepas Nabi SAW?' Beliau kemudian menjawab, 'Abu Bakar'. Aku bertanya lagi, 'Selepas itu?' Beliau menjawab, 'Selepas itu adalah Umar'. Aku bimbang beliau akan berkata 'dan selepasnya Uthman', lalu lantas aku berkata, 'dan kemudiannya adalah kamu (Saidina Ali)'. Lalu beliau membalas, 'Aku hanyalah seorang lelaki biasa dalam kalangan umat Islam'."

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan lainnya.

Menerusi Empat Mata

Khalid bin Ma'dan RA telah berkata:

"Sesungguhnya setiap diantara kita mempunyai empat mata: dua di kepalanya dan dengannya dia dalam melihat hal-hal kehidupan dunia ini, dan dua di dalam hatinya dan dengannya dia melihat kepada perkara akhirat. Dan sesungguhnya apabila Allah mahukan kebaikan buat hambaNya, Dia akan membuka mata hati seseorang itu lalu orang tersebut akan merasakan (kebenaran) akan perkara yang telah Dia janjikan dalam alam Ghaib (syurga atau neraka). Kemudian dia akan diselamatkan daripada perkara ghaib (hukuman, balasan dan azab) oleh perkara ghaib yang lain (pahala bagi mereka yang taat)."

Rujuk: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an-Nubala', IV:543

Musuh ketat kepada Sunnah

Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:

"Sesungguhnya, pengikut akal adalah musuh kepada Sunan (yakni ajaran Rasulullah SAW yang dinyatakan sebagai hadith), mereka tidak mampu untuk mengekalkan (hadith) dan huraian mereka (terhadap hadith) adalah menyimpang, dan apabila ditanya (soalan), mereka terlalu malu untuk menyatakan 'Aku tidak tahu' lalu jadilah mereka sebagai penentang disebabkan pendapat akal mereka".

Rujukan: Ibnu Abi Zamanin, Usul al-Sunnah, 8; al-Lalaka'i Syarh Usul I'tiqad Ahlu Sunnah, 201 et. al

Ikutilah Hadith dengan Sebaiknya

Abu Ja'far meriwayatkan;

Apabila setiap kali Ibnu Umar RA (Abdullah bin Umar) mendengar hadith daripada Baginda Rasulullah SAW, beliau tidak pernah melebihinya (mengingkarinya) dan tidak pula dia mengurangkannya (meremehkannya).

Rujuk: Ibnu Majah, al-Sunan, hadith # 4. 

al-Albaani menyatakan riwayat ini sebagai sahih di dalam Sahih Sunan Ibnu Majah karangannya.

Syeikh al-Albaani menjelaskan lafaz "beliau tidak pernah melebihinya" adalah bermaksud bahawa beliau (Ibnu Umar) tidak pernah sesekali menambah apa-apa yang dijelaskan di dalam hadith tersebut atau melampaui lingkungan batas hadith tersebut (yakni mematuhi larangan dalam hadith). Manakala lafaz "tidak pula dia mengurangkannya" beerti tidak pula sesekali dia mengabaikan isi kandungan hadith tersebut.

Mufti yang Adil

Diriwayatkan bahawasanya Masruq RA pernah berkata;

"Satu hari dimana aku mengeluarkan aturan (fatwa) yang betul dan adil adalah lebih aku cintai daripada setahun berjuang dalam pertempuran (jihad)."

Rujuk: Imam Dzahabi, Siyar A'lam an-Nubala', 4:66.
 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @