Ahad, 29 Julai 2012

Segalanya bermula dengan Niat

Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki."
(HR Bukhari dan Muslim)

Ini adalah diantara hadith yang masyhur yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat kita, bahkan para ulama' biasanya memulakan segala tugasan mereka dengan berpandukan hadith ini. Disini disertakan secara ringkas huraian hadith diatas oleh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya, Jami' al-Ulum wal Hikam yang mensyarahkan keseluruhan hadith dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi:

Imam Bukhari memulakan mukaddimah dalam Shahihnya dengan hadith ini (sebagaimana juga Imam Nawawi dalam Hadith 40) yang dimana ianya memperingatkan kepada kita semua bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang semata-mata bukan untuk mencari keredhaan Allah maka dia tidak akan menerima imbalannya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Abdul Rahman bin Mahdi, salah seorang 'alim dalam bidang hadith berkata; "Jika aku hendak menyusun satu karangan di dalam bab-bab, aku pasti akan meletakkan hadith ini pada awal setiap bab tersebut". Beliau juga turut berkata, "Jika seseorang itu mahu mengarang tulisan, hendaklah dia bermula dengan hadith berkenaan tujuan dan niat".

Hadith ini membentuk satu prinsip asas dalam Islam dan merupakan paksi dalam persekitaran cara hidup kita.

Berkata Imam al-Syafi'i, "Hadith ini merupakan satu pertiga daripada ilmu pengetahuan, dan ia berkaitan dengan 70 cabang dalam bidang Fiqh (kefahaman agama yang betul)".

Berkata pula Imam Ahmad, "Asas dalam Islam adalah berpaksikan 3 hadith; satu diriwayatkan oleh Umar (Setiap amalan itu bermula dengan niat), satu diriwayatkan oleh 'Aisyah (Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan daripada kami, maka ianya adalah tertolak) serta satunya yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Bashir (Perkara yang halal dan perkara yang haram adalah jelas...)".

Hadith ini mengajarkan kepada kita akan prinsip bahawa penerimaan amalan kita (sama ada diterima atau tidak) adalah bergantung kepada niat disebaliknya. Jika niat tersebut adalah baik dan ikhlas untuk menggapai keredhaan Allah, maka ianya dikira sebagai satu amal soleh. Namun jika sebaliknya, amalan itu akan dikira sebagai sia-sia dan tidak diterima. Inilah antara perkara pertama yang harus diambil kira.

Syarat lain yang perlu diambil kira bagi memastikan sesuatu amalan itu untuk diterima adalah dengan menjadikan setiap satu amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan juga sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh golongan soleh terdahulu. Oleh sebab itu, Baginda SAW menyatakan,

"Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada kami, maka ianya tertolak". [HR Bukhari dan Muslim]


Ibnu Rajab, Jami' al-Ulum Wa al-Hikam




No response to “Segalanya bermula dengan Niat”

Leave a reply

 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @