Rabu, 14 Oktober 2015

Larangan Bertaqlid Buta

Taqlid bermaksud "menerima perkataan atau pendapat seseorang tanpa berdasarkan hujah" (Sila lihat takrifan yang diberikan oleh Imam As-Syi'razi dalam Syarah Al-Luma' Jilid 2, m/s 1005 dan At-Tahmid, Jilid 4, m/s 395)

Al-Imam Abu Hanifah rahimahullah pernah berpesan kepada kita dengan berkata :

"Tidaklah dihalalkan bagi sesiapa pun untuk menerima pendapat kami (mengikuti mazhab kami) sekiranya mereka tidak tahu daripada mana sumber yang kami gunakan.

Rujukan: Ibn Abd Barr, Al-Intiqa fi Fadha’il Tsalasah A'immah Fuqahah, m/s 145.

Imam Malik bin Anas rahimahullah pula berkata,

"Aku hanyalah seorang manusia yang biasa yang mana pendapat aku kemungkinan adalah benar dan kemungkinan juga adalah salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan."

Rujuk: Kitab Jami Bayan Al-Ilm

Imam asy-Syafie rahimahullah berkata,

"Dan sesungguhnya hadith nabi itu adalah lebih utama maka oleh itu janganlah kamu bertaqlid kepadaku."

Rujuk: Ibn’ Abi Hatim, Adab As-Syafi'ie" m/s 93

Tidur Siang - Antara yang disukai dan dibenci

Khawat bin Jubair radhiyallahu 'anhu berkata,

"Tidur pada bahagian awal hari (waktu pagi) adalah suatu bentuk kejahilan, tidur di pertengahan hari (tengah hari) merupakan kebaikan, manakala tidur di akhir hari (petang) adalah merupakan kebodohan"

Rujukan: al-Bukhari, al-Adabul Mufrad. Syeikh al-Albani rahimahullah mensahihkannya. Lihat Sahih Adabul Mufrad hadith 947

Urwah bin Zubair berkata,

كان الزبير ينهى بنيه عن التصبح
"Dahulunya Zubair melarang anak-anaknya untuk tidur pada waktu pagi".

Urwah berkata lagi,

إني لأسمع أن الرجل يتصبح فأزهد فيه.
"Sungguh jika aku mendengar bahawa ada seorang itu tidur di waktu pagi maka aku pun merasa tidak suka kepada dirinya".

Rujukan: Ibn Abi Syaibah, al-Musanaf, 5/222 no. 25442

Jauhi Bid'ah

Renungilah perkataan Imam Malik ini:

قَالَ ابْنُ الْمَاجِشُونِ : سَمِعْتُ مَالِكًا يَقُولُ :
Ibn al-Majisyun berkata: Aku mendengar Imam Malik berkata:

" مَنِ ابْتَدَعَ فِي الْإِسْلَامِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً ،
Sesiapa yang mereka-reka di dalam agama Islam satu rekaan yang dia anggap baik,

زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَانَ الرِّسَالَةَ ،
maka dia telah menyangka bahawa Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam telah mengkhianati risalah.

لِأَنَّ اللَّهَ يَقُولُ : ( الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ ) ، فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِينًا ، فَلَا يَكُونُ الْيَوْمَ دِينًا .
Ini kerana Allah telah berfirman: ((Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kalian untuk kalian)). Apa-apa yang bukan merupakan sebahagian agama pada hari itu, maka ia tidak akan menjadi agama pada hari ini.

Rujukan : Al-I'tisham, jilid 1, m/s 64-65

--------------

Nota tambahan :
Al-Imam Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya,

"Adapun Ahlus Sunnah wa alJamaah, mereka berkata tentang setiap perbuatan dan perkataan yang tidak tsabit daripada para sahabat: Ia adalah perkara bid'ah.

Ini kerana jika ia baik, pastilah mereka (iaitu para sahabat nabi) telah mendahului kita kepadanya. Kerana sesungguhnya para sahabat tidak akan meninggalkan sebarang amalan kebaikan melainkan mereka akan bersegera melakukannya.
[Tafsir al-Quran al-Azhim, jilid 7, m/s 278-279]

Sungguh tiada di antara kita yang meragui bahawa para sahabat meniti di jalan kebenaran. Maka, jalan siapakah yang kita ikuti dalam beragama di zaman ini?

Kecintaan Para Sahabat Terhadap alQuran

Abu Abdul Rahman as-Sulami berkata:

"Mereka yang mengajar kami al-Quran (iaitu para sahabat nabi) menyampaikan kepada kami bahawa mereka mempelajari al-Quran daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

Apabila mereka mempelajari sepuluh ayat, mereka tidak akan berpindah (ke ayat yang lain) sehingga mereka beramal dengan isi kandungan ayat itu. Oleh kerana itu, kami mempelajari dan mengamalkan al-Quran pada masa yang sama".

[Tafsir at-Thabari, jilid 1, m/s 80, Syeikh Ahmad Syakir berkata: Isnadnya Sahih Muttasil]

Abdullah bin Mas'ud berkata:

"Demi Allah yang tiada siapa yang berhak disembah selainNya. Tidaklah turun satu surah daripada kitab Allah kecuali aku tahu di mana ia turun. Tidaklah turun satu ayat daripada kitab Allah kecuali aku tahu kerana sebab ia diturunkan. Seandainya aku mengetahui ada seseorang yang lebih mengetahui tentang kitab Allah berbanding diri aku, yang mana tempat itu dapat dituju dengan menunggang unta, nescaya aku akan menunggang unta ke tempat itu".

[Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadis no: 5002]

Anas bin Malik radhiyallahu 'anhu berkata:

"Apabila seseorang telah membaca surah al-Baqarah dan Ali 'Imran, maka orang itu menjadi mulia pada pandangan kami".

[Musnad Ahmad, Musnad Anas bin Malik, no: 12236]
 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @