Selasa, 6 November 2012

Membaca Quran dengan Berlagu?

Diriwayatkan bahawasanya ada seseorang pernah membaca al-Quran di dalam nada yang berlagu [1] di hadapan al-A'mash. Lalu al-A'mash menegur dengan berkata:

"Seorang lelaki pernah membaca al-Quran seperti ini dihadapan Anas (Anas bin Malik) RA dan dia dibencinya".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 110.

Diriwayatkan juga bahawasanya Salim (Salim bin Abdillah bin Umar bin al-Khattab - cucu kepada Saidina Umar) RA telah diminta untuk mendengar bacaan seseorang ketika ia memimpin solat (menjadi imam). Apabila beliau mendengar bacaannya lalu dia berpaling dan seraya berkata; "Menyanyi, Menyanyi!".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 183.

Diriwayatkan dalam kitab yang sama bahawasanya ada seorang lelaki di Madinah yang selalu mengimami solat. Pada suatu malam dia membaca Quran hingga terbawa-bawa akan emosinya. [2] al-Qasim bin Muhammad membaca firman Allah berikut; 



Maksudnya; Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

[Surah Fussilat, ayat 41 & 42]

Dan beliau (al-Qasim) membencinya (tindakan pembaca Quran tersebut)

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 184.

Fudail bin 'Ayyad RA sendiri apabila ditanya mengenai persoalan membaca al-Quran dengan bernada lagu [1] lalu beliau menjawab, "Ini adalah sesuatu yang mereka ambil dari seni nyanyian".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 182

Ibnu Dawud (Abdullah bin Dawud bin 'Amir al-Khuraybi) RA pernah ditanya oleh Bisyr bin al-Harith;

"Jika aku melalui berdekatan orang yang sedang membaca Quran, perlukah aku duduk dan mendengar?" Beliau (Ibnu Dawud) bertanya, "Adakah dia menjadi lunak (disebabkan bacaan mendayu-dayu mengikut perasaan)?" Dia menjawab, "Ya". Lalu beliau berkata, "Orang itu telah menunjukkan bid'ah, jangan duduk bersamanya". 

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 186.

Hanbal meriyawatkan:

Abu Abdillah (Imam Ahmad) selalu membenci bacaan bid'ah sebegini yang dipanggil sebagai al-Alhan (bacaan bernada dengan merdu).

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 187

Hanbal turut meriwayatkan bahawasanya Imam Ahmad pernah berkata;

"Bid'ah pembacaan ini dinamakan al-Alhan, aku tidak menyukainya. Beliau amatlah seorang yang tegas terhadap tindakan ini. Tambah beliau, "Aku yakin bahawa ia menyerupai nyanyian, dan al-Quran hendaklah dipelihara daripada perkara sebegini".

Rujukan: Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin, 188.

Jika diperhatikan, banyak lagi kata-kata Imam Ahmad yang menyanggah perbuatan ini, antara yang lainnya adalah, 

Apabila ditanya tentang perkara ini (al-Alhan) lalu beliau (Imam Ahmad) berkata;

"Ini adalah bid'ah. Akan tetapi (membaca dengan suara yang baik) jika itu adalah suara semulajadinya (tidak dipaksa-paksa) tidak mengapa, seperti Abu Musa (Abu Musa al-Asy'ari RA)."

Antara jawaban lain beliau;

"Tidak. (Dibolehkan) Jika ianya suara asal seseorang itu, sebagaimana suara Abu Musa. Adapun belajar untuk membaca seperti begitu (memaksa suara untuk merdu) maka itu tidak dibolehkan."

Apabila Imam Ahmad ditanya mengenai bacaan merdu dan mendayu-dayu, beliau menjawab;

"Itu adalah bid'ah". Lalu seseorang memberitahu Imam Ahmad, "Manusia berkumpul untuk mendengarnya". Kemudian Imam Ahmad membalas, "Allahul Musta'an (kepada Allah jualah diminta pertolongan - yakni lafaz dukacita dan penolakan)" 

Juga Imam Ahmad pernah berkata;

"Ianya bid'ah, jangan mendengar kepadanya".

Abdullah bin Yazid al-'Anbari meriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Imam Ahmad,

"Apakah pandangan engkau mengenai bacaan secara Alhan?". Abu Abdillah (Imam Ahmad) bertanya kembali, "Apakah namamu?". Si penanya menjawab, "Muhammad". Imam Ahmad menjawab kembali, "Adakah kamu lebih suka dipanggil Muuhammad (dengan penambahan vokal yang tidak sepatutnya)?".

Rujukan: Abu Bakar al-Khallal, al-Amr bil-Ma'ruf wa al-Nahi 'an al-Munkar, m/s 99+

Imam Malik bin Anas juga pernah berkata;

"Tidak aku sukai membaca Quran dengan mendayu-dayu, tidak pada bulan Ramadhan mahupun pada masa yang lain, kerana ianya menyerupai nyanyian, dan menyebabkan al-Quran itu untuk dipermainkan. Lalu akan ada yang berkata 'Orang ini lebih merdu bacaannya berbanding orang ini' (Seolah-olah al-Quran kini menjadi bait-bait lagu yang dipertandingkan sesama para qari).

Telah juga sampai kepada pengetahuanku bahawa para hamba wanita kini diajar membaca seperti ini sebagaimana mereka belajar bagaimana untuk menyanyi. Adakah kalian berfikir bahawa inilah cara yang Baginda Rasulullah SAW gunakan ketika membaca Quran?".

Rujukan: al-Qairawani, Kitab al-Jami', m/s 166.

______________

[1] Bahasa Arab: Alhan. Ini membawa erti membaca dalam nada yang merdu, seperti lagu. Lihat nota.
[2] Bahasa Arab: al-Tarb. Ianya merujuk kepada keadaan keamatan emosi yang membawa kepada ungkapan fizikal. Cth: Menangis hingga tersedu-sedu, gembira hingga melompat-lompat. Rujuk nota.

Nota:

Sehubungan dengan beberapa perkara ini, Ibnu Jauzi RAH menyatakan bahawa;

Ketahuilah bahawa bacaan sebegini dibenci berdasarkan kepada beberapa sebab, antaranya; (si pembaca) menggabungkan huruf bersama beberapa huruf lain yang tidak sepatutnya digabungkan, mereka melanjutkan vokal (mad) pada tempat yang tidak sepatutnya dipanjangkan, mereka meninggalkan tanda hamzah dan juga menggandakan konsonan (tasydid) kerana ingin mengekalkan melodi yang dibawa. Bacaan sebegini juga mampu menyebabkan orang awam terbawa-bawa emosi (dalam membaca Quran) dan juga mengalihkan perhatian manusia daripada menghayati al-Quran. [3]

Dalam menjelaskan jenis-jenis bacaan yang dipuji dan dicela, al-Hafiz Imam Ibnu Katsir RAH menjelaskan,

Apa yang digalakkan dalam syariat adalah untuk mengindahkan bacaan yang membawa kepada penghayatan al-Quran dan usaha untuk cuba memahaminya, lalu menyerah dan merendah diri lalu patuh dengan ketaatan (kepada Allah). Namun dalam soal menggunakan melodi bersuara, ianya digubah dengan gangguan irama yang menghiburkan berdasarkan aturan muzik maka hendaklah al-Quran dihormati dan dijauhkan daripada perkara sebegini untuk diambil pendekatan dalam penyampaian. [4]

[3] Ibnu al-Jauzi, al-Qussas wa al-Mudhakkirin m/s 335
[4] Ibnu Katsir, Fada'il al-Quran, m/s 198 

No response to “Membaca Quran dengan Berlagu?”

Leave a reply

 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @