Ahad, 29 Julai 2012

Keharusan Bagi Lelaki untuk Memakai Wangian

Diriwayatkan daripada Abi Qilabah bahawasanya Ibnu Abbas RA, ketika beliau keluar daripada masjid, jiran tetangganya pasti mengetahui sama ada beliau telah melintasi halaman mereka disebabkan bau wangian yang dipakai oleh beliau dapat dihidu oleh semua.

Diriwayatkan juga bahawasanya Abdullah (Ibnu Mas'ud) selalu memakai wangian dari kasturi bersamanya. Beliau juga dikatakan dapat dikenali oleh sesiapa pun berdasarkan wangian yang dipakai oleh beliau.

Nufay' (mawla Abdullah -Ibnu Mas'ud-) meriwayatkan,

"Abdullah adalah salah seorang yang selalu paling berbau harum dan selalu memakai pakaian bersih yang berwarna putih".

Uthman bin Ubaydillah (mawla kepada Sa'ad bin Abi Waqqas) berkata,

"Aku selalu melihat Ibnu Umar, Abu Hurairah, Abu Qatadah, dan Abu Usayd al-Sai'di (Radhiyallahu anhum 'ajmain) berjalan melintasi kami ketika kami masih dalam pengajian. Aku dapati bahawa kami akan dapat menghidu bau wangian haruman daripada mereka".

Dilaporkan juga bahawasanya Abdullah bin Ja'far RA selalu menyapu wangian kasturi pada rambutnya.

Berkata Ummu Razin;

"Aku selalu menghadiahkan wangian kepada Ibnu Abbas. Beliau berkata kepadaku; Tiada perkara yang paling disukai kaum Quraisy berbanding ini (wangian). Lalu dia menghadiahkan kami al-Wars (tumbuhan yang digunakan untuk mewarnakan kain)."

 [Ibnu Abi Syaibah, Kitab al-Adab, 92-99]




No response to “Keharusan Bagi Lelaki untuk Memakai Wangian”

Leave a reply

 
© Baitul Salaf | Dijanakan oleh Blogger
آثار ومقالات عن السلف الصالحين مترجمة إلى اللغة الملايوية | موقع بيت السلف @